KPDN pantau ketat harga telur lepas subsidi dikurang

KPDN pantau ketat harga telur lepas subsidi dikurang

Menteri Armizan Mohd Ali berkata harga telur masih tertakluk harga kawalan.

Armizan Mohd Ali
Menteri KPDN Armizan Mohd Ali seru rakyat salur maklumat di pelbagai platform aduan kementerian jika terdapat jualan harga telur tidak ikut kawalan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memantau ketat harga dan bekalan telur susulan pengurangan subsidi barangan itu yang bermula Khamis lalu, kata Menteri Armizan Mohd Ali.

Katanya, harga telur masih tertakluk kepada harga kawalan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menaikkan harga sewenang-wenangnya.

“Saya bukan hanya mengharap, tetapi memberikan penegasan dan mengingatkan semua pihak masih terikat dengan harga kawalan telur di pasaran, jangan sesekali naikkan (harga) sesuka hati. Pegawai kita memantau bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM),” katanya menurut Bernama di Kimanis.

Rabu lalu, kerajaan mengumumkan kawalan harga telur ayam akan ditamatkan, manakala kadar subsidi dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji, sebelum dihentikan sepenuhnya pada 1 Ogos ini.

Menurut KPKM, tempoh kawalan harga serta pemberian subsidi yang terlalu lama tidak mampan bagi kelangsungan industri pengeluar telur tempatan dan kewangan negara.

Armizan berkata, keputusan pengurangan subsidi itu dibuat kerajaan setelah dibincangkan sejak sekian lama, dan mengambil kira risiko kenaikan harga serta langkah memastikan bekalan sentiasa berada di pasaran.

Beliau berkata, KPDN turut melaksana pelbagai operasi bagi memantau harga serta bekalan barangan termasuk telur, malah kerajaan menubuhkan jawatankuasa khusus menyelaras tindakan dalam memastikan kestabilan harga serta keberadaan bekalan.

Orang ramai diminta menggunakan pelbagai platform aduan KPDN bagi melaporkan sebarang isu mengenai harga atau bekalan telur juga barangan keperluan lain di pasaran, dan pihaknya akan menyiasat aduan dalam tempoh 24 jam.

“Rakyat boleh salurkan jika terdapat penjualan harga telur tidak mengikut harga kawalan, komitmen KPDN bahawa setiap aduan berkaitan harga kita susur 24 jam, jadi letak aduan di platform dan kita akan ambil tindakan segera sekiranya ada pihak naikkan harga telur ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.