Langkah tepat Anwar tak turun kempen PRK Sungai Bakap, kata penganalisis

Langkah tepat Anwar tak turun kempen PRK Sungai Bakap, kata penganalisis

James Chin dan Awang Azman Pawi berkata, jentera parti peringkat negeri dan prestasi calon di lapangan lebih penting untuk mendorong pengundi keluar mengundi.

Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, beliau tidak akan menyertai kempen calon partinya untuk PRK Sungai Bakap.
PETALING JAYA:
Penganalisis politik menyifatkan keputusan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tidak turun berkempen pada PRK Sungai Bakap langkah tepat memandangkan beliau kurang popular di lapangan dan dinamik tempatan pilihan raya.
James Chin.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, populariti Anwar dalam kalangan pengundi Melayu tidak kukuh dan kehadirannya berpotensi membayangi isu tempatan.

“Jika dia datang, perkara seperti kenaikan harga diesel (dan) kos sara hidup akan mendominasi perbincangan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, Anwar sebaliknya perlu mengambil alih peranan kepimpinan dari jauh, bukannya mengambil risiko mendapat perhatian negatif dengan muncul dalam kempen PRK.

“Ketika ini, beliau tidak popular di lapangan, jadi tiada sebab untuk beliau turun berkempen.”

Sebelum ini, bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, P Ramasamy mempersoalkan alasan sebenar di sebalik keputusan Anwar menjauhkan diri daripada PRK Sungai Bakap.

Menurutnya, ketiadaan Anwar dalam kempen PRK Kuala Kubu Baharu mungkin disebabkan rasa tidak selesa dengan calon DAP, tetapi tidak jelas alasan beliau tidak menyokong calon parti sendiri kali ini.

PKR mengumumkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki di Kedah, Joohari Ariffin sebagai calonnya bagi PRK 6 Julai ini.

Awang Azman Pawi.

Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, ketiadaan Anwar mungkin disebabkan PRK dianggap tidak kritikal.

“Menjadi amalan biasa untuk PRK diketuai timbalan presiden atau pemimpin kanan lain, bukannya perdana menteri sendiri,” katanya sambil menambah ini amalan standard dalam politik mikro.

Menurutnya, jentera peringkat negeri sepatutnya cukup untuk mempengaruhi peratusan keluar mengundi PRK itu dan pembabitan Anwar akan mencerminkan kurang keyakinan terhadap kemampuan calon PKR untuk menang.

Tetapi, Chin berkata, peratusan keluar mengundi juga bergantung kepada prestasi calon di lapangan.

“Kita lihat dengan jelas di Kuala Kubu Baharu, di mana peratusan keluar mengundi tinggi disebabkan calon bekerja keras,” katanya merujuk Pang Sock Tao dari DAP.

“Jadi, kita perlu lihat (dedikasi sama) daripada calon PKR (di Sungai Bakap).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.