Gagal perjelas naik harga, 3 syarikat logistik didakwa minggu depan

Gagal perjelas naik harga, 3 syarikat logistik didakwa minggu depan

Syarikat berpangkalan di Melaka itu merupakan pemegang kad fleet di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0.

Pengarah KPDN Melaka Norena Jaafar, berkata pihaknya akan terus memeriksa syarikat penerima manfaat SKDS bagi kekang kenaikan harga perkhidmatan atau barangan tidak munasabah. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Tiga syarikat pengangkutan di Melaka yang gagal memberikan penjelasan kewajaran tindakan menaikkan harga perkhidmatan dalam Op Kesan 2.0 yang dilaksanakan sejak 6 Jun lalu bakal didakwa di mahkamah minggu depan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Norena Jaafar, berkata pihaknya telah mengeluarkan notis bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kepada ketiga-tiga syarikat berkenaan, namun semuanya gagal memberi respon dalam tempoh ditetapkan.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati ketiga-tiga syarikat pengangkutan berkenaan telah diluluskan permohonan ‘fleet card’ di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0).

“Syarikat terbabit antara 41 penerima manfaat SKDS 2.0 yang telah diperiksa bagi mengesan sebarang kenaikan caj perkhidmatan atau kenaikan harga yang tidak munasabah,” katanya kepada pemberita di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Mengulas lanjut, Norena berkata KPDN Melaka akan terus meningkatkan pemeriksaan ke atas syarikat penerima manfaat SKDS di sekitar negeri itu secara berperingkat bagi mengekang kenaikan harga perkhidmatan atau barangan yang tidak munasabah.

Beliau berkata setiap hari, lima kumpulan membabitkan 17 penguat kuasa akan digerakkan bagi memeriksa syarikat terlibat dan notis bertulis di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 akan dikeluarkan sekiranya mereka dikesan melakukan kesalahan berkaitan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kenaikan harga barang atau perkhidmatan melibatkan penerima manfaat SKDS boleh melaporkannya kepada KPDN di talian 012-6654292 agar tindakan lanjut boleh diambil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.