Kes Faisal Halim: Belum ada perkembangan siasatan, kata peguam Selangor FC

Kes Faisal Halim: Belum ada perkembangan siasatan, kata peguam Selangor FC

Peguam minta orang ramai tidak buat spekulasi dan berwaspada dengan cerita tidak sahih di media sosial.

Faisal Halim (tengah) pada sidang media bersama Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC Shahril Mokhtar (dua dari kiri) dan peguam Selangor FC Haijan Omar (dua dari kanan) di Shah Alam.
SHAH ALAM:
Peguam Selangor FC, Haijan Omar, berkata anak guamnya tidak dimaklumkan perkembangan siasatan ke atas kes pemain bola sepak Faisal Halim disimbah asid.

Bercakap pada sidang media bersama mangsa di Pusat Latihan Pasukan Bola Sepak Selangor petang tadi, peguam berkata pihaknya yakin siasatan dilakukan secara profesional.

“Dari semasa ke semasa kita akan sentiasa berhubung dengan pihak polis untuk mengetahui perkembangan siasatan membabitkan kes itu,” katanya.

Haijan menambah beliau dimaklumkan kali terakhir Faisal didatangi polis ialah semasa mangsa menerima rawatan di unit rawatan rapi.

Beliau percaya pelaku akan diheret ke muka keadilan, dan Selangor FC akan terus membantu siasatan polis,

Haijan juga meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu, dan berwaspada dengan cerita tidak sahih di media sosial.

Peguam tampil bersama Faisal hari ini, yang kali pertama muncul di khalayak sejak kejadian pada 5 Mei lalu.

Pemain Selangor FC dan Harimau Malaya itu dibenarkan pulang ke rumah 25 Mei, selepas tiga minggu menjalani rawatan dan empat pembedahan di hospital. Kesan melecur daripada bekas simbahan asid itu jelas kelihatan di bahagian muka dan lengannya.

Faisal mengalami luka lecuran tahap empat selepas menjadi mangsa simbah asid di sebuah pusat beli-belah. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.

Beliau dikawal ketat pasukan keselamatan sepanjang sidang media yang bermula pada 2.30 petang.

Katanya, beliau hampir membuat keputusan bersara daripada dunia bola sepak selepas kejadian itu, ‘asalkan keluarga selamat dan tak hidup dalam ketakutan’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.