
Sekretariat Himpun mendakwa kenderaan seorang aktivis pelajar disimbah asid di parkir Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang disaksikan rakan aktivis itu.
Penganjur itu berkata, seorang lagi peserta himpunan ditarik ke tepi oleh seseorang dipercayai pegawai yang enggan menunjukkan sebarang pengenalan diri.
Menurutnya, tindakan pihak berkuasa itu bukan hanya satu bentuk intimidasi terhadap mahasiswa mahu bersuara menentang rasuah, tetapi juga serangan terhadap hak mereka berhimpun dan kebebasan bersuara.
“Kami memandang serius insiden ini dan menyeru pihak polis menjalankan siasatan segera. Kegagalan pihak berkuasa untuk bertindak hanya akan menormalisasikan budaya ganas terhadap aktivisme,” katanya dalam kenyataan.
Antara organisasi dalam Sekretariat Himpun ialah Parti Sosialis Malaysia, badan pemantau pilihan raya Bersih dan kumpulan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia.
Di Kota Kinabalu semalam, perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 anjuran Universiti Malaysia Sabah berakhir dengan pembakaran karikatur Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Malaysiakini melaporkan perhimpunan itu bermula kira-kira 1 tengah hari Sabtu dan berterusan sehingga 11 pagi semalam dengan lebih 100 peserta menggesa tindakan diambil terhadap Jabatan Air Sabah.
Sementara itu, NGO belia dikenali Mandiri mendakwa DBKK menghalau peserta himpunan yang diadakan di tempat awam dan mengarahkan kain rentang diturunkan.
Mandiri dalam kenyataan berkata, tindakan DBKK menunjukkan ia jahil atau enggan memahami Akta Perhimpunan Aman, selain mendakwa polis gagal memudahkan perjalanan himpunan itu, walaupun telah dimaklumkan mengenainya.