
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Azman Abdullah sebulat suara menolak permohonan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dikenakan Mahkamah Sesyen pada 3 Mei 2023.
“Kami mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes terhadap perayu melampaui keraguan munasabah.
“Sehubungan itu, sabitan adalah kukuh untuk dikekalkan dan rayuan ditolak,” kata Azman.
Hakim Azmi Ariffin dan Hayatul Akmal Abdul Aziz turut mendengar rayuan itu.
Mahkamah mengekalkan hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan mahkamah bawahan, dengan Azman menyatakan bahawa “haiwan yang tidak mempunyai akal tidak tergamak untuk mendatangkan kecederaan (kepada Bella)”.
Azman berkata, tidak dapat dinafikan kecederaan dialami Bella, yang berusia 13 tahun ketika kesalahan itu berlaku pada 2021, bukan secara kemalangan dan bukan disebabkan oleh dirinya sendiri, sebagaimana disokong keterangan saksi.
Beliau berkata, gambar dikemukakan di mahkamah menunjukkan luka pada tangan, kecederaan lama di kepala, muka, leher dan belakang, serta kesan melecur.
Mahkamah Sesyen telah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Siti Bainun, 33, kerana mengabaikan remaja itu dan 12 tahun kerana menderanya, dengan kedua-dua hukuman berkuat kuasa serta-merta dan berjalan serentak.
Siti Bainun juga diperintahkan menandatangani bon berkelakuan baik bernilai RM5,000 selama lima tahun dengan seorang penjamin, serta melaksanakan 200 jam khidmat masyarakat dalam tempoh enam bulan selepas bebas.
Pada 2 Mei tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengekalkan kedua-dua sabitan dan hukuman tersebut.
Siti Bainun diwakili Haijan Omar, Nurul Hafidzah Hassan, Nur Aminatul Mardhiah Nor, Tun Laila Tun Rafaee, Asyraaf Abu Bakar Hamzah, dan Putri Ainaa Amiera Megat Mustaffa Al-Bakri.
Pasukan pendakwaan terdiri Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamed, Tetralina Ahmad Fauzi, Analia Kamaruddin, dan Hidayat Wahab.