
Ketua Polis Klang Selatan Cha Hoong Fong berkata dalam siasatan itu pihaknya perlu melengkapkan semua keterangan dan menganalisa barang bukti, selain merakam keterangan mangsa di di Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC).
“Tindakan ini perlu dilengkapkan sebelum kertas siasatan dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya, seorang pegawai penyiasat memerlukan masa bagi melengkapkan suatu kertas siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Merujuk kes membabitkan kanak-kanak berusia empat tahun itu, Cha berkata siasatan terhadap guru wanita terbabit yang dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 telah siap dan bakal didakwa esok.
“Suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Klang esok di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.
FMT hari ini melaporkan gesaan seorang bapa supaya polis mengambil tindakan segera selepas mendakwa anak lelakinya berusia empat tahun didera guru dalam kejadian di sebuah taska di Pandamaran, Klang bulan lalu.
Lelaki itu berkata, dia mengambil anaknya dari taska kira-kira tengah hari pada 13 Mei dan mendapati terdapat kesan lebam dan calar di belakang, telinga dan pipi.
Dalam laporan polisnya, lelaki berusia 33 tahun itu berkata seorang guru mengaku telah memukul kanak-kanak lelaki itu dengan tangannya selepas dia membuang air besar dalam seluar.
Jurujual itu kemudian membawa anaknya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, di mana doktor mengesahkan kecederaan itu.