

Selama 26 tahun, R Ranjithamalar atau mesra dengan panggilan cikgu Ranjitha, mendidik murid berbilang kaum – Melayu, Cina dan India menggunakan ‘alat’ yang menyatukan mereka iaitu bahasa kebangsaan.
“Walaupun berbangsa India, saya tiada masalah untuk gunakan bahasa Melayu dalam pengajaran dan saya mahu anak murid saya semua berkomunikasi dalam bahasa yang sama di dalam kelas.
“Saya pernah mengajar di tabika dengan 100% murid India, tapi saya tak gunakan atau terjemah dalam bahasa Tamil. Saya mahu mereka belajar. Hasilnya, sampai sekarang murid saya masih fasih bahasa Melayu,” katanya yang menabur bakti di Tabika Perpaduan Sri Sungai Pelek, Sepang.
Di kelasnya, aktiviti seperti menyambut perayaan pelbagai kaum, drama mini, dan permainan berkumpulan digunakan untuk mengajar nilai hormat, kerjasama serta kefahaman antara kaum.
Beliau memastikan setiap murid mempunyai peluang sama rata untuk bercakap, bertanya soalan dan mengambil bahagian dalam aktiviti harian tanpa mengira latar belakang budaya.
Bagi Ranjitha, perpaduan bukan sekadar slogan di dinding kelas atau buku teks, tetapi nilai yang mesti dicontohi dan dipraktikkan setiap hari melalui aktiviti kelas serta interaksi antara murid.
Pendekatan itu membolehkan kanak-kanak semua kaum belajar bersama dan membina kemahiran sosial yang menjadi asas bagi kehidupan mereka pada masa hadapan.
Tapak integrasi awal
Pengarah Bahagian Kesepaduan Sosial dan Integrasi Nasional Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Fairojibanu Zainal Abidin, menyifatkan guru seperti Ranjitha adalah tonggak kepada usaha Kementerian Perpaduan Negara menjadikan taska dan tabika perpaduan sebagai ‘tapak integrasi awal’.


Katanya, taska perpaduan yang menerima kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun mengguna pakai Kurikulum Permata Negara sambil memperkenalkan elemen kaum, etnik, dan budaya melalui aktiviti santai seperti mewarna.
Manakala, tabika perpaduan pula membimbing kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun dengan menekankan elemen kenegaraan, perpaduan dan nilai murni, selain membantu mereka mengembangkan konsep kendiri.
“Tabika perpaduan menggunakan kurikulum standard prasekolah kebangsaan yang dibangunkan Kementerian Pendidikan dengan tambahan modul khusus.
“Modul itu merangkumi pendidikan Rukun Negara, komunikasi asas pelbagai bahasa (Inggeris, Tamil, Mandarin, Kadazan dan Iban) serta program Jom Urus Diri,” katanya memaklumkan terdapat kira-kira 41 taska dan 1,781 tabika perpaduan di seluruh negara.
Fairojibanu berkata, dengan wujudnya pembelajaran dalam ekosistem perpaduan yang harmoni, ia diyakini dapat membentuk warganegara aktif dan berdaya saing.
Sebanyak RM33.73 juta diperuntukkan Kementerian Perpaduan Negara melalui program Cilik Perpaduan tahun ini bagi memperkasa pengoperasian taska dan tabika perpaduan.
Peruntukan itu merangkumi penyediaan ‘starter kit’ murid, bantuan makanan tambahan (BMT), Geran Perkapita Murid Tabika Perpaduan bernilai RM100 setiap murid, serta perlindungan insurans kemalangan diri berkelompok.
Menurut Fairojibanu, menerusi peruntukan itu pendidikan di taska dan tabika perpaduan disediakan secara percuma termasuk pakaian seragam, dengan sebarang bayaran oleh ibu bapa bersifat sumbangan sukarela antara RM15 hingga RM30 sebulan.
Katanya, memandangkan majoriti murid datang daripada keluarga berpendapatan rendah, kemudahan itu sekali gus meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan pendidikan awal yang berkualiti untuk anak mereka.