Datuk, nenek Zayn Rayyan lepas dengan jaminan

Datuk, nenek Zayn Rayyan lepas dengan jaminan

Mereka dikehendaki lapor diri kepada polis sebulan sekali.

atuk zayn
Zahari Reba dan Hasni Zakaria dilepaskan dengan jaminan selepas ditahan sehari, untuk diambil keterangan.
PETALING JAYA:
Polis telah melepaskan datuk dan nenek Zayn Rayyan Abdul Matiin dengan jaminan, sehari selepas ditahan.

Zahari Reba dan Hasni Zakaria, kedua-duanya berusia 56 tahun, melangkah keluar daripada IPD Petaling Jaya pada 2.30 petang tadi, dan mendekati pemberita yang menanti.

Peguam mereka, Fahmi Moin, berkata polis hanya mahu menyambung rakaman keterangan pasangan itu.

“Mereka dikehendaki melaporkan diri kepada balai polis sebulan sekali. Saya yakin mereka akan patuhi arahan ini dan akan beri kerjasama dalam mencari pembunuh Zayn, katanya.

Zahari, yang kelihatan tenang, berterima kasih kepada polis atas profesionalisme mereka dan melayan mereka dengan baik ketika dalam tahanan.

“Saya tak cukup tidur sejak semalam, saya hanya mahu rehat dan tengok anak dan menantu saya di rumah,” katanya.

Pagi tadi, ibu bapa kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, mohon dibicarakan atas tuduhan mengabaikan Zayn, ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak. Pasangan itu berdepan denda sehingga RM50,000 atau pemenjaraan tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya, sekiranya sabit kesalahan.

Zayn dilaporkan hilang di Damansara Damai pada 5 Dis tahun lepas. Dia ditemui meninggal dunia keesokan hari berdekatan sebuah anak sungai, yang terletak kira-kira 200m dari rumahnya.

Bedah siasat menemui terdapat kesan luka, termasuk kecederaan akibat mempertahankan diri, manakala punca kematian dipercayai akibat dicekik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.