
Hakim Aslam Zainuddin berkata selepas meneliti afidavit dan hujahan pihak-pihak terlibat, mahkamah mendapati tiada keadaan khas yang membolehkan permohonan itu diluluskan.
“Selepas meneliti afidavit dan hujahan, saya mendapati tiada keadaan khas untuk membenarkan permohonan ini,” katanya.
Peguamnya Haresh Mahadevan berkata satu lagi permohonan bagi menangguhkan hukuman akan difailkan di Mahkamah Rayuan.
Pada 31 Okt lalu, hakim Syahliza Warnoh turut menolak permohonan Ismanira untuk penangguhan pelaksanaan hukuman atas alasan sama, iaitu ketiadaan keadaan khas yang membenarkannya.
Ismanira kini menjalani hukuman di Penjara Kajang dan turut diperintahkan menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin serta wang jaminan RM3,000.
Beliau juga diwajibkan melaksanakan khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan kelak.
Syahliza sebelum ini berkata tindakan Ismanira membenarkan anaknya berjalan di belakang tanpa pengawasan mencukupi telah menyebabkan kanak-kanak itu hilang dan akhirnya meninggal dunia.
Pertuduhan mengabaikan kanak-kanak di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda maksimum RM50,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, didakwa tahun lalu atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dengan cara yang berkemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal.
Zaim dibebaskan pada Julai lalu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.