Mahkamah tetap 4 Dis dengar permohonan tangguh hukuman Ismanira

Mahkamah tetap 4 Dis dengar permohonan tangguh hukuman Ismanira

Ibu Zayn Rayyan itu sebelum ini didapati bersalah kerana pengabaian dan dihukum lima tahun penjara.

Ismanira Abdul Manaf
Ismanira Abdul Manaf, 30, menjalani hukuman penjara sejak 31 Okt lalu selepas didapati bersalah mengabaikan Zayn Rayyan, 6, sehingga menyebabkan kecederaan fizikal. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Mahkamah Tinggi menetapkan 4 Dis untuk mendengar permohonan Ismanira Abdul Manaf bagi menangguhkan hukuman penjara lima tahun kerana mengabaikan anak lelakinya, Zayn Rayyan, 6, sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, dua tahun lalu.

‎Penolong Pendaftar Kanan Nadiah Misman membuat keputusan itu selepas peguam Haresh Mahadevan, yang mewakili Ismanira, memfailkan permohonan berhubung perkara tersebut hari ini.

‎Pada 31 Okt lalu, Ismanira, 30, dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas didapati bersalah mengabaikan kanak-kanak autistik itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.

‎Hakim Syahliza Warnoh membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Beliau memerintahkan Ismanira menjalani hukuman penjara bermula 31 Okt, selain menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin dan cagaran RM3,000.

‎Ismanira turut diarah menjalani khidmat masyarakat 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.