6 penentang Bersatu terima notis keahlian terhenti hari ini

6 penentang Bersatu terima notis keahlian terhenti hari ini

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata notis berkenaan diserahkan mengikut Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu kerana ketidakpatuhan arahan parti.

6 jahanam
Enam Ahli Parlimen yang terkesan dengan pindaan pada perlembagaan Bersatu adalah (dari atas, kiri ke kanan) Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
PETALING JAYA:
Notis pemakluman keahlian lima Ahli Parlimen dan seorang Adun Bersatu yang terhenti serta-merta telah diserahkan kepada mereka hari ini, kata Setiausaha Agung Hamzah Zainudin.

Dalam kenyataan, beliau berkata notis berkenaan diserahkan mengikut Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu kerana ketidakpatuhan arahan parti.

Wakil rakyat Bersatu menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terdiri daripada Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), dan Azizi Abu Naim (Gua Musang) yang juga Adun Nenggiri.

Zahari Kechik (Jeli); Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Sementara itu, Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari pula menyatakan sokongan kepada pentadbiran Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Hanzah berkata bagi kes Suhaili pula, keahlian beliau telah terhenti serta-merta menurut Fasal 10.2.6 perlembagaan Bersatu iaitu seorang ahli membawa apa-apa perkara parti atau hak keahliannya ke mahkamah boleh diberhentikan atau dipecat keahlian.

“Notis terhenti secara serta-merta keahlian telah dihantar kepada beliau lebih awal iaitu pada 17 Mei.

“Kesemua proses ini telah dilakukan dengan menepati lunas perlembagaan parti dan perundangan negara sebagai mana diperuntukkan di bawah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan dan/atau di bawah undang-undang kerajaan negeri yang berkenaan,” katanya.

Menurut surat dihantar Bersatu kepada Ahli Parlimen Labuan yang dilihat FMT baru-baru ini, surat berkenaan antara lain meminta Suhaili mengosongkan kerusinya mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Pada 1 Jun lalu, Presiden Muhyiddin Yassin memaklumkan 25 Ahli Parlimen dan 58 Adun menandatangani surat arahan khusus Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, seperti dikehendaki dalam tempoh 14 hari berakhir sehari sebelum itu.

Arahan itu meminta semua wakil rakyat menyatakan sokongan kepada parti dan tidak menyokong lawan.

Muhyiddin mengingatkan wakil rakyat parti itu bahawa keahlian mereka akan disifatkan terhenti sekiranya gagal mematuhi arahan MPT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.