Kritikan membina, tak serang peribadi tonjol kematangan PAS, kata penganalisis

Kritikan membina, tak serang peribadi tonjol kematangan PAS, kata penganalisis

Ariff Aizuddin Azlan berpendapat PAS bersikap rasional dengan menyuarakan pelbagai idea untuk memperbaiki dasar penyasaran subsidi diesel.

PAS melalui Takiyuddin Hassan mengalu-alukan matlamat baik digariskan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi antaranya mengatasi ketirisan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kritikan membina PAS berhubung penyasaran subsidi diesel boleh memberi imej baik kepada parti itu kerana kematangan sebagai pembangkang berkesan dalam proses semak dan imbang, kata penganalisis politik.

Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata kenyataan PAS melalui Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan yang menyuarakan pelbagai idea untuk memperbaiki dasar itu berbanding menyerang peribadi pemimpin kerajaan mencerminkan sikap politik rasionalnya.

“Kenyataan PAS mencerminkan peranannnya sebagai pembangkang bersikap rasional, profesional dan tidak menyerang keperibadian seteru politik mereka semata-mata.

“Ini satu perkembangan sihat dan kerajaan pada masa sama perlu buka ruang mendengar serta mengambil kira pandangan supaya setiap dasar baharu bersifat menyeluruh dan inklusif,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, PAS melalui kenyataan media dikeluarkan Takiyuddin mengalu-alukan matlamat baik digariskan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi yang menyaksikan harga diesel diapung kepada 3.35 seliter mulai semalam berbanding RM2.15 sebelum ini.

Namun parti itu meminta usaha kerajaan mengatasi masalah ketirisan diesel tanpa mengabaikan kebajikan rakyat dilengkapkan dengan beberapa tindakan antaranya meningkatkan pemantauan mengekang penyeludupan serta mempermudahkan penyaluran bantuan wang tunai RM200 sebulan kepada kelompok layak.

Ramai pengguna media sosial terutama penyokong Pakatan Harapan (PH) memuji peranan semak imbang PAS berhubung isu itu termasuk tidak mengeluarkan kenyataan menyerang mana-mana pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Zaireeni Azmi dari Universiti Sains Malaysia pula berkata kritikan membina PAS itu harus dicontohi pembangkang lain yang diperlukan masa kini bagi menjamin kestabilan ekonomi negara terutama dalam melaksanakan tindakan tidak popular tetapi perlu dibuat.

“Ini langkah awal dan pembangkang perlu lebih menyokong kerajaan semasa yang bertindak bagi membantu rakyat serta negara.

“Jika tidak beri keuntungan kepada rakyat perlu tegur dan kritik secara membina…dari situ rakyat boleh lihat nilai kepentingan pembangkang dalam membangkitkan isu dekat dengan mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.