Bersih tak lagi relevan, bukan semua tuntutan logik, kata pemimpin Umno

Bersih tak lagi relevan, bukan semua tuntutan logik, kata pemimpin Umno

Sheikh Umar Bagharib Ali dari DAP berkata kerajaan berusaha keras melakukan penambahbaikan secara berperingkat, khasnya reformasi institusi yang memerlukan masa membuahkan hasil.

Sheikh Umar Bagharib Ali dan Razlan Rafii-
Sheikh Umar Bagharib Ali dari DAP berkata kerajaan memerlukan masa untuk melaksanakan reformasi institusi, manakala Razlan Rafii dari Umno berkata banyak tuntutan Bersih sudah dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional terdahulu.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin DAP menyifatkan Bersih tidak adil menuntut reformasi dijayakan segera manakala wakil Umno pula mendakwa gabungan pemantau pilihan raya itu tidak lagi relevan.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP Sheikh Umar Bagharib Ali berkata kerajaan sedang berusaha keras melakukan penambahbaikan secara berperingkat, khasnya reformasi institusi yang memerlukan masa untuk membuahkan hasil.

“Bersih macam nak sekali petik semua terlaksana, jadi tak adil. Bersih jalankan kempen reformasi 100% dan serahkan beberapa tuntutan pada Februari, sekarang baru masuk Jun, tak adil terus katakan perdana menteri dan Jemaah Menteri tidak komited meneruskan agenda reformasi sebab baru empat bulan.

“Jemaah Menteri sedang berusaha merealisasikan usaha ke arah memisahkan kuasa peguam negara dan pendakwa raya, itu perkembangan memperbetulkan sistem reformasi institusi negara,” kata naib ketua DAP Johor itu kepada FMT.

Reformasi pilihan raya antara 10 tuntutan Bersih yang dikemukakan Pengerusinya Faisal Abdul Aziz dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Februari lalu.

Dalam sebuah forum di ibu negara minggu lalu, Faisal dilaporkan berkata ia memberikan penarafan “F” terhadap reformasi yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan kerana tidak nampak sebarang usaha untuk melaksanakan tuntutannya.

Beliau turut memberi amaran siri demonstrasi jalanan Bersih 6 akan dilancarkan jika tiada sebarang usaha untuk mereformasi sistem pilihan raya sebelum tamat penggal pertama kerajaan perpaduan.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Razlan Rafii berkata Bersih tidak lagi relevan kini kerana kebanyakkan permintaannya sudah dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

“Sekarang (baki tuntutan) yang tinggal tak banyak dan sebenarnya benda yang perlu difikirkan sama ada logik atau tidak untuk dilaksanakan.

“Bersih sekarang kacau-kacau nak main politik sahaja, sebenarnya kewujudannya sudah tidak lagi relevan kerana dulu kita (pentadbiran BN) dah buat segalanya.”

Antara tuntutan Bersih yang sudah dilaksanakan ialah membenarkan rakyat Malaysia tinggal di luar negara untuk mengundi dan menggunakan dakwat kekal semasa proses mengundi.

Razlan berkata bukan semua tuntutan Bersih logik dan wajar dilaksanakan kerajaan seperti pelantikan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bukan di kalangan penjawat awam.

“Bersih kena faham bukan sebarang orang boleh dilantik, individu itu mesti mempunyai pengetahuan tentang perundangan, pentadbiran kerajaan, bagaimana urus tatacara sebagai ketua SPR melibatkan kewangan dan sebagainya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.