
Dalam perhimpunan aman dianjurkan Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia, mereka meminta pencarum mempunyai baki kurang dalam akaun dua yang kini dikenali Akaun Sejahtera dibenarkan mengeluarkan caruman dalam akaun persaraan.
Turut bersama kumpulan itu Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan yang berkata pengeluaran Akaun 1 secara bersasar lebih rasional berbanding pengenalan Akaun 3 kerana semua pihak tanpa melihat keperluan boleh mengeluarkan simpanan mereka.
“Mereka yang meminta pengeluaran Akaun 1 betul-betul memerlukan,” katanya pada perhimpunan di hadapan Menara KWSP Kwasa Damansara.
Memorandum tuntutan turut diserahkan kepada pengurusan kanan KWSP Suhaizam Ismail.
Mengikut data Kementerian Kewangan, hanya 30% rakyat di negara ini mempunyai tabungan yang cukup iaitu sekurang-kurangnya RM240,000 untuk bersara pada usia 55 tahun bagi membolehkan mereka menampung kehidupan bagi tempoh 20 tahun dengan kadar perbelanjaan RM1,000 sebulan.
Pada 11 Mei lalu, KWSP menstrukturkan semula akaun termasuk dengan memperkenalkan Akaun 3 yang boleh dikeluarkan pada bila-bila bagi membantu pencarum.
Menerusi struktur baharu, 75% caruman akan disalurkan ke Akaun Persaraan manakala Akaun Sejahtera (15%) dan Akaun Fleksibel (10%).