
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Mustapha Sakmud, berkata pelajar merancang menyertai Perhimpunan #KamiMahuAir Sabah juga diberitahu supaya mendapatkan fakta sahih.
“Saya hanya mahu bercakap mengenai UMS sahaja. Pelajar sila dapatkan fakta yang benar sebelum buat tindakan.
“Saya sebagai Ahli Parlimen Sepanggar memang sentiasa berinteraksi dengan jabatan air mengenai masalah yang berlaku, malahan sedaya upaya membantu rakyat di kawasan Sepanggar ini mendapat bekalan air bersih, sekiranya terdapat sebarang aduan,” katanya menurut Berita Harian ketika meninjau projek telaga itu di Kota Kinabalu.
Katanya, walaupun berlaku sedikit kelewatan dari tarikh asal, projek berkenaan kini beroperasi untuk menyalurkan bekalan air bagi kegunaan pelajar di kolej kediaman, sambil menyatakan kelewatan disebabkan sedikit perubahan aspek rekaan.
“Menerusi telaga tiub ini, kita menjangka dapat menyalurkan satu juta liter air setiap hari. Saya ingin menegaskan telaga tiub ini hanyalah alternatif, selain kita mengharapkan bekalan air bersih dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS),” katanya.
“Semua kolej kediaman sudah dilengkapi tangki penyimpanan air. Apabila kekurangan bekalan air, pelajar boleh terus mendapatkan bekalan air daripada tangki-tangki yang disambungkan dengan telaga tiub ini.”
Januari lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk projek penggalian telaga tiub sebagai langkah alternatif menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di semua kolej kediaman UMS.
Pada 5 Jun, Naib Canselor UMS Kasim Mansor mengecam sebarang usaha kumpulan pelajarnya mahu mengadakan perhimpunan sebagai tanda protes isu air, sambil menyifatkan ia bukan keperluan.
Beliau berkata, UMS pada dasarnya tidak akan membenarkan sebarang aktiviti yang boleh mewujudkan ketidakselesaan atau gangguan terhadap ketenteraman awam.
Katanya, universiti percaya sebarang isu boleh disuarakan mengikut prosedur dan saluran yang betul, dan tidak mengambil tindakan secara membuta tuli.