Kes anak MB modal lawan serang PN, kata ketua Bersatu Perlis

Kes anak MB modal lawan serang PN, kata ketua Bersatu Perlis

Abu Bakar Hamzah berkata perlu ada 'perubahan' gerak kerja pimpinan PAS negeri dan Bersatu sudah menggerakkan kumpulan untuk beri penerangan.

Ketua Bersatu Perlis Abu Bakar Hamzah berkata partinya tidak mempunyai masalah dengan PAS susulan kes mahkamah melibatkan anak menteri besar Perlis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua Bersatu Perlis melihat kes tuntutan palsu anak menteri besar bukan sahaja menjadi ‘bola tanggung’, malah dibimbangi memberi cabaran kepada Perikatan Nasional (PN) mempertahankan negeri itu pada PRU16.

Abu Bakar Hamzah, yang juga timbalan pengerusi PN Perlis berkata isu pendakwaan anak Mohd Shukri Ramli dijadikan serangan oleh parti lawan terhadap gabungan berkenaan dan akan digunakan pada mana-mana pilihan raya.

“PN Perlis memang akan terpalit dan isu ini akan digunakan oleh lawan terutama menjelang PRK, PRU mahupun PRN,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, susulan kes itu masyarakat mula membandingkan pentadbiran ketika ini dengan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Masyarakat sudah mula membandingkan pentadbiran sekarang dengan kerajaan pimpinan BN beberapa dekad sebelum ini dan mengakui untuk mempertahankan kemenangan PN pada PRU16 sukar jika isu tersebut tidak ditangani dengan betul,” katanya.

Pada 23 Mei, Mohd Syafeeq Mohd Shukri, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM19,505.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyediakan dokumen pesanan bekalan perkhidmatan kerajaan Perlis dengan niat memperdayakan berjumlah RM19,505.10 bertarikh 14 Feb 2024 yang mengandungi butiran palsu.

Sementara itu, Abu Bakar berkata Bersatu sudah menggerakkan kumpulan untuk memberikan penerangan berkenaan isu tersebut kepada rakyat Perlis.

Bagaimanapun, beliau menegaskan isu berkait anak menteri besar tidak menjejaskan kerjasama Bersatu dan PAS negeri.

“Kita tidak ada masalah dan masih menghormati PAS sebagai rakan dalam PN.

“Rakyat perlu lihat dan kita tidak mahu dihukum pada PRU16. Perlu ada perubahan dari segi gerak kerja yang dipimpin oleh PAS sebagai menteri besar di negeri ini,” katanya.

Pada 30 April lalu, Timbalan Ketua Bersatu Perlis Izizam Ibrahim berkata pentadbiran kerajaan negeri tidak terkesan dan berjalan seperti biasa kerana kes Syafeeq membabitkan individu bukannya parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.