
Speaker DUN Selangor Lau Weng San berkata, setakat ini Rashid masih kekal sebagai Adun Selat Klang sehingga ada keputusan rasmi dibuat.
“Saya belum menerima sebarang notis dari Bersatu berhubung status keahlian Adun Selat Klang.
“Setakat ini beliau (Rashid) masih Adun, selepas terima notis saya akan ambil masa untuk meneliti perkara berbangkit,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul turut memaklumkan belum menerima sebarang notis rasmi berhubung kekosongan kerusi membabitkan enam Ahli Parlimen Bersatu yang digugurkan keahlian mereka.
Enam Ahli Parlimen dan seorang Adun Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
Selain Rashid, enam Ahli Parlimen itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Pada 3 Jun lalu Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris turut memaklumkan parti itu akan menghantar notis kekosongan kerusi melibatkan tujuh wakil rakyat tersebut dalam tempoh terdekat.