‘Masih YB Selat Klang’, Rashid tetap hadir sidang DUN minggu depan

‘Masih YB Selat Klang’, Rashid tetap hadir sidang DUN minggu depan

Abdul Rashid Asari berkata Speaker DUN Selangor Lau Weng San belum buat keputusan berhubung notis pengosongan kerusi dihantar Bersatu.

Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari berkata kerusi beliau di DUN Selangor juga tidak akan dipindahkan dan akan duduk tempat sedia ada.
SHAH ALAM:
Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari akan hadir seperti biasa ke sidang DUN Selangor minggu depan kerana belum ada keputusan berkait notis pengosongan kerusi itu oleh Bersatu.

Rashid berkata Speaker DUN Selangor Lau Weng San masih meneliti fakta kes beliau dan memerlukan masa sebelum membuat keputusan memuktamadkan berhubung notis berkenaan.

“Dalam perbincangan saya dengan speaker tadi, beliau maklum telah meneliti keterangan, fakta, dan bukti yang ada.

“(Bagaimanapun) Speaker memberitahu yang beliau masih lagi belum membuat apa-apa keputusan dan memerlukan info-info fakta (tambahan),” katanya kepada media selepas bertemu Lau di Wisma Dewan Negeri Selangor.

Kata Rashid Lau akan menghantar satu surat kepadanya untuk meminta penjelasan dan maklumat tambahan sebelum membuat keputusan sama ada perlu atau tidak kerusi Dun Selat Klang dikosongkan.

“Jadi pada 4 Julai nanti saya akan hadir di dewan seperti biasa. Kerusi saya juga tidak akan dipindahkan dan akan duduk tempat sedia ada,” katanya.

Diminta mengulas sekiranya keputusan Lau sama seperti keputusan Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah yang mengumumkan kekosongan kerusi Nenggiri, Rashid berkata, keadaan berbeza kerana keputusan itu dibuat tergesa-gesa.

Katanya, Mohd Azizi Abu Naim sebagai Adun Nenggiri juga tidak diberi peluang membela diri oleh Amar.

“Mengikut speaker (Lau) kes saya ini tidak sama dengan Kelantan sebab di Kelantan speaker buat keputusan terlalu cepat tanpa beri peluang kepada Adun tersebut (Azizi) untuk berjumpa dan berbincang, jadi keputusan dibuat secara tergesa-gesa,” katanya.

Kerusi Nenggiri disandang Azizi diisytiharkan kosong oleh DUN Kelantan kerana didapati bukan lagi ahli Bersatu. Azizi juga adalah Ahli Parlimen Gua Musang.

Rashid dan Azizi antara tujuh wakil rakyat Bersatu yang terlucut keahliannya selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia sebaliknya terus menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen lain yang menyokong Anwar terdiri Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Keahlian wakil rakyat Labuan Suhaili Abdul Rahman pula terhenti kerana memfailkan saman ke atas Bersatu pada 19 Dis tahun lalu.

Rashid mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Mac lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.