
Katanya, situasi pengosongan kerusi DUN Nenggiri di Kelantan adalah berbeza, sambil menyifatkan pengisytiharan kekosongan dibuat ‘terburu-buru’.
“Mungkin saya akan bawa ke mahkamah, sebab kalau ikutkan peruntukan undang-undang negeri, sekiranya saya dipecat, ‘expulsion’ atau ‘expelled from the party’, speaker tidak wajib (arah) mengosongkan kerusi, tetapi kalau saya sendiri keluar daripada parti, masuk parti lain atau dituduh di mahkamah dan sebagainya, itu barulah boleh kosong.
“Tetapi, kalau dipecat daripada parti itu merupakan undang-undang negeri. Insya-Allah, kalau betullah dikosongkan mungkin saya akan bawa ke mahkamah untuk mendapatkan tafsiran daripada mahkamah bagaimana,” katanya menurut Utusan Malaysia di Shah Alam.
Bagaimanapun, Rashid menghormati Speaker DUN Selangor Lau Weng San dan menunggu keputusannya untuk menentukan kedudukan sebagai wakil rakyat di kawasan Selat Klang.
Sebelum ini ketua pembangkang yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Azmin Ali, menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi Selat Kelang kepada Lau berikutan keahlian Rashid sebagai ahli Bersatu terhenti.
Semalam, dalam sidang DUN Selangor, Lau berkata Rashid ditempatkan sementara antara blok pembangkang dan kerajaan, mengambil kira statusnya yang tidak mempunyai keanggotaan dalam mana-mana parti ketika ini.