
Perunding pengangkutan, Rosli Khan berkata, sistem ‘berkapasiti rendah dan sederhana’, di mana sedang diteroka kerajaan negeri dan MRT Corp akan menjurus kos lebih besar terutama bagi infrastruktur asas.
“Mula daripada kecil tidak mampan dari segi ekonomi mengambil kira kos pengambilan tanah, kerja cerucuk, tiang, rasuk, rel, membina 20 stesen, dan kerja kejuruteraan kekal besar tanpa mengira saiz tren,” katanya kepada FMT.
Minggu lalu, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, mengakui sistem LRT berkapasiti tinggi seperti digunakan di Lembah Klang tidak sesuai digunakan di Pulau Pinang.
Zairil berkata, sebaliknya kerajaan akan mengguna pakai sistem ‘scalable’ (boleh diskalakan), dengan permulaan tren dua gerabak dan dikembangkan selepas itu.
Katanya, Lembaga Perolehan Kementerian Pengangkutan akan menentukan sistem LRT akan diguna pakai.
Rosli berkata, kenyataan Zairil secara tidak langsung mengakui Pulau Pinang menjangka permintaan keseluruhan rendah bagi cadangan sistem transit, menjadikan pelaburan Jajaran Mutiara yang dijangka berjumlah RM8 bilion sebagai tidak wajar.
Katanya, kerajaan negeri sepatutnya menumpukan kepada permintaan ‘lebih signifikan’ di sepanjang koridor Seberang Perai-Bayan Lepas, menghubungkan jambatan Pulau Pinang kedua.
Dalam pada itu, Wan Agyl Wan Hassan pula mengambil pandangan berbeza sambil menyatakan cadangan tersebut mampu mengurangkan perbelanjaan modal awal, sambil mengekalkan keanjalan bagi memenuhi pertumbuhan pada masa depan.
Bagaimanapun, beliau menekankan kepentingan unjuran penumpang di Jajaran Mutiara mestilah tepat.
“Unjuran permintaan tepat disekali penggunaan strategik tanah dapat membantu dalam reka bentuk sistem pengangkutan cekap di negeri itu,” katanya.
Pakar berbeza pandangan ART di P Pinang
Dua perunding pengangkutan berkenaan berbelah bahagi sama ada Pulau Pinang sebaliknya patut mengguna pakai sistem aliran transit automasi (ART).
Rosli menyokong idea itu dengan menyuarakan ART kurang memerlukan pelaburan modal dan mampu dilaksanakan dalam tempoh singkat.
Katanya, laluan sempit di George Town mungkin mencetuskan beberapa cabaran dan menggesa sistem sedemikian diperkenalkan dulu di laluan Seberang Perai-Bayan Lepas.
Wan Agyl pula berpandangan, ART memerlukan penyelenggaraan lebih kerap berbanding LRT. Beliau juga berkata ART belum terbukti keupayaannya dalam bandar merujuk topografi dan kepadatan penduduk seperti di Pulau Pinang.
“Walaupun penyelesaian lebih murah mempersonakan, fokus sepatutnya dilihat kepada kecekapan, kemampanan, dan daya maju projek,” katanya.
Jajaran Mutiara sepanjang 29km itu melibatkan 20 stesen, termasuk stesen pertukaran di Komtar dan Penang Sentral.