
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, masih terdapat rundingan yang perlu dibuat mengenai tarif sektoral, yang mana bawah Seksyen 232, AS berpendapat perbincangan seterusnya perlu diadakan untuk beberapa sektor lain yang dianggap penting.
“Kita perlu melihat gambaran yang lebih meluas, khususnya 1,711 garis yang merangkumi lebih kurang 12% jumlah eksport kita dalam nilai. Pada masa yang sama, ini boleh berkembang lagi kerana produk-produk ini kemudiannya akan dikecualikan daripada tarif 19%.
“Kita telah menunjukkan bahawa dalam perjanjian tersebut, kita merupakan rakan kongsi rantaian bekalan mereka yang boleh diharapkan dan dipercayai. Terutamanya dalam sektor-sektor strategik mereka seperti semikonduktor, aeroangkasa, farmaseutikal dan sebagainya,” kata beliau di platform X.
Ini akan membantu mengukuhkan lagi ekosistem serta industri tempatan yang terlibat dalam rantaian bekalan ke negara itu memandangkan aspek jaminan rantaian bekalan adalah penting dalam isu keselamatan ekonomi semasa, katanya.
Beliau menjawab dakwaan sesetengah pihak yang berpandangan bahawa perjanjian pengecualian tarif Malaysia yang melibatkan kira-kira 1,700 barisan produk sebenarnya lebih menguntungkan pengimport AS berbanding Malaysia.
Pada 27 Okt, Presiden Donald Trump dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memeterai ART yang membolehkan sehingga 1,711 produk Malaysia termasuk minyak sawit, getah dan koko serta beberapa komponen farmaseutikal dan peralatan aeroangkasa dieksport ke AS pada kadar tarif yang lebih rendah daripada 19%.