
Mereka terpaksa memandu kenderaan sendiri lantaran perkhidmatan bas yang lapuk dan tidak cekap, lantas menyebabkan laluan sempit di kota menjadi sesak.
Begitu juga keadaannya pada hujung minggu apabila pelawat berpusu-pusu ke pulau untuk memburu kelazatan yang menjadikan Pulau Pinang terkenal.
Maka bagi Exco Zairil Khir Johari, sekarang masa terbaik untuk memperkenalkan sistem transit aliran ringan di negeri itu, terutama di pulau.
Inisiatif LRT dilihat paling meyakinkan walaupun terdapat beberapa cadangan lain, kerana diteliti selama sedekad dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

Zairil berkata cadangan LRT merupakan pilihan yang terbaik bagi Pulau Pinang pada ketika ini, memandangkan ia telah melepasi usaha wajar dan proses penilaian yang berkenaan.
Beberapa tahun kebelakangan ini beberapa cadangan lain ditimbulkan antaranya transit aliran bas (BRT) dan transit aliran autonomi (ART) yang mendapat sokongan kuat daripada ramai pihak.
Mengapa LRT
Satu hujah yang sering diajukan oleh pengkritik LRT ialah kos dua sistem itu lebih rendah.
Bagaimanapun, beberapa pertimbangan lain harus diambil kira. Pertama sekali, sebahagian daripada Pulau Pinang adalah pulau yang kecil dan jalan-jalan di bandarnya tidak lebar. Ini menyebabkan usaha mengadakan laluan khusus untuk sistem BRT atau ART suatu kerja yang sukar, jika tidak mustahil.
Membuat persempadanan untuk laluan khusus bas akan memburukkan kesesakan.
Sebaliknya, laluan LRT adalah bertingkat maka tidak perlu mengadakan laluan khusus di aras bumi.
“Ini sebab utama kita pilih LRT,” kata Zairil.
Kelajuan juga harus diambil kira, menurut Poh Seng Tiok, seorang felo di Institut Jurutera Awam (UK), dengan lebih 27 tahun pengalaman dalam bindang transit massa berskala besar.

Poh, yang juga pengarah urusan di firma perunding antarabangsa, Asia Infrastructure Solutions, berkata LRT yang lebih cepat berbanding ART atau BRT adalah lebih efisien.
Pada kelajuan sederhana 70kpj, LRT berupaya membawa penumpang melangkaui kesesakan lalu lintas dengan mudah dan pantas.
Berbanding sistem di aras bumi yang lebih perlahan, orang ramai mungkin akan memilih pengangkutan awam dengan adanya LRT berbanding memandu kenderaan sendiri.
“Dari segi kejuruteraan, sistem LRT merupakan satu penyelesaian kepada beberapa masalah pengangkutan di Pulau Pinang,” kata Poh.
“Ia bukan sahaja menangani isu pengangkutan sedia ada yang tidak efisien, tetapi juga menjangkakan permintaan masa depan,” tambahnya.
Walaupun LRT pilihan yang baik sebagai permulaan, Poh berkata mod pengangkutan lain seperti BRT boleh diserasikan sebagai penghubung perbatuan terakhir.
Sistem sedemikian boleh diperkenalkan kemudian sebagai sistem penghantar untuk melengkapi LRT, sepertimana yang didirikan di kota-kota pulau lain misalnya Singapura dan Hong Kong, di mana rangkaian rel utama yang berkapasiti tinggi disokong oleh sistem yang lebih ringan dan perlahan.
Kelayakan profesional Pobh antara lain termasuk khidmatnya di Penguasa Pengangkutan Darat Singapura dan Mass Rapid Transit Corporation. Beliau mengetuai perancangan dan reka bentuk beberapa projek laluan rel di Asia.
Bagi Zairil dan rakan-rakannya di kerajaan negeri, LRT dilihat sebagai pelaburan untuk masa depan dan bukan sekadar untuk menyelesaikan masalah.
Memandangkan George Town merupakan kota yang dinamik, pengangkutan yang dijangka meningkat naik dengan cepat menjadikan boleh skala amat penting.
Rekod terbukti
Berbanding sistem LRT, ART belum terbukti berdaya maju pada skala yang besar.
Pakar sistem rel dan transit, TC Chew, seorang felo di Akademi Kejuruteraan Diraja (UK), berkata LRT merupakan sistem berasaskan rel yang terbukti boleh dipercayai dan fleksibel untuk memenuhi jangkaan penumpang.
“Apabila tatarajah sistem dibuat dengan baik, LRT boleh dibina dengan input daripada pelbagai sumber, lantas mencegah monopoli membawa kepada kos yang lebih tinggi,” katanya.
“Tambahan pula, reka bentuk LRT yang modular memudahkan sistem itu dikembangkan.”
Chew merupakan pengarah bagi perniagaan rel sejagat di Arup United Kingdom, dan pernah berkhidmat dengan MTR Corporation di Hong Kong.
Beliau mempunyai pengalaman selama berdekad-dekad mengusahakan pelbagai sistem transit rel, termasuk metros, rel ringan, rel berat, dan rel berkelajuan tinggi.
Chew berkata sistem LRT automatik dengan hak lalu-lalang yang khusus boleh berlepas setiap dua minit apabila permintaan memuncak, berbanding selang empat atau enam minit pada waktu tidak sibuk.
Kelebihan LRT berbanding sistem lain ialah ia skalanya boleh ditingkatkan bagi memenuhi keperluan masa depan, tambahnya.
Ini berbanding ART yang mempunyai kapaisiti terhad, lantas menyukarkan sistem itu bersaing dengan permintaan untuk pengangkutan awam yang dijangka meningkat dengan cepat pada masa depan.
Sistem ART mula diperkenalkan di China pada 2018 dan sehingga hari ini tidak dilaksanakan pada skala besar di banyak tempat di luar negara itu.
Selain itu, ketiadaan bukti menunjukkan ia sesuai dengan persekitaran bandar yang kompleks di Pulau Pinang menyukarkan pelaksanaannya.
Sebaliknya, LRT mempunyai beberapa kelebihan yang menjadikan ia sesuai untuk Pulau Pinang.
Ia telah dilaksanakan secara meluas di bandar-bandar utama dan telah membuktikan kebolehan sebagai pengangkutan awam.
Dalam konteks keselamatan, yang merupakan perkara penting dalam sistem pengangkutan awam, LRT terbukti memenuhi syarat itu.
Risiko kesilapan manusia dapat dikurangkan dengan adanya sistem sistem dan koridor khusus.
Selain itu, keteguhan teknologi automasi LRT telah teruji dan terbukti dalam banyak keadaan di serata dunia.
Misalnya, alat pengesan dalam sistem itu memastikan penumpang boleh naik atau turun daripada gerabak dengan selamat.
Penyelesaian masa depan
Namun satu perkara yang menyebabkan LRT jauh mengatasi sistem pengangkutan lain ialah ia boleh menelusuri landskap bandar yang kompleks dengan cekap.
Tren LRT yang bergerak atas laluan bertingkat membolehkan ia ‘melangkaui’ simpang-simpang jalan raya dan berjalan dengan lancar.
LRT bertingkat juga meminimumkan gangguan perkhidmatan apabila berlaku banjir, satu lagi kelebihan berbanding BRT atau ART di aras bumi.
Kelebihan ini merupakan daya pemulihan yang lebih tinggi apabila menghadapi cabaran perubahan iklim.
Kos projek serta penyelenggaraannya akan ditanggung sepenuhnya oleh pemaju dan pengendali sistem.
Bagi Zairil, faktor-faktor ini menyimpulkan LRT sistem terbaik untuk memenuhi keperluan Pulau Pinang.