Mampukah projek LRT Pulau Pinang bertahan perubahan politik, soal perunding

Mampukah projek LRT Pulau Pinang bertahan perubahan politik, soal perunding

Wan Agyl Wan Hassan berkata perubahan gabungan pemerintah dan kepimpinan di Putrajaya sebelum ini memberi impak kepada projek mega.

PENANG LRT
Penganalisis pengangkutan Wan Agyl Wan Hassan mempersoalkan sama ada projek LRT Pulau Pinang mendapat sokongan dwipartisan untuk memastikan ia diteruskan walaupun kerajaan berubah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang perunding pengangkutan mempersoalkan sama ada projek LRT Pulau Pinang yang bakal berjalan cukup kuat untuk menahan perubahan politik, memandangkan rekod negara dalam projek rel sebelum ini.

Pengasas badan pemikir pengangkutan My Mobility Vision, Wan Agyl

Wan Hassan, berkata walaupun kerajaan terikat dengan obligasi undang-undang selepas menganugerahkan kontrak, sejarah menunjukkan bahawa komitmen sebegitu sering diambil ringan.

wan agyl wan hassan
Wan Agyl Wan Hassan.

“Rekod Malaysia dalam projek infrastruktur menunjukkan komitmen undang-undang semata-mata tidak selalunya mencukupi untuk menjamin kesinambungan,” katanya kepada FMT.

Beliau mengambil contoh projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sama ada dihentikan atau dirunding semula selepas kontrak dimeterai.

Projek HSR, yang dijangka mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit, dibatalkan apabila Perikatan Nasional mengambil alih kerajaan pada 2020.

Dua tahun sebelum itu, kerajaan Pakatan Harapan menghentikan projek ECRL sebaik sahaja berkuasa selepas PRU 2018, walaupun pembinaan bermula pada tahun sebelumnya. Projek itu disambung semula pada 2019 selepas kosnya dikurangkan sebanyak RM11 bilion melalui rundingan semula kontrak.

Atas rekod itu, Wan Agyl menolak tanggapan bahawa projek yang berada pada peringkat maju tidak berisiko untuk dihentikan, dengan merujuk projek MRT3 dan HSR yang juga dihentikan walaupun pembinaan sedang rancak.

“Isu utama bukan sejauh mana kemajuan projek itu, tetapi sama ada proses yang dilalui setakat ini dilakukan dengan cekap dan telus. Tanpa tadbir urus yang kuat, projek yang sudah maju pun boleh terjejas jika keutamaan berubah,” katanya.

Beliau mengulas jaminan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bahawa projek LRT Pulau Pinang tidak mungkin dibatalkan walaupun kerajaan baru mengambil alih.

Rafizi berkata projek itu kini bergerak ke peringkat pemberian kontrak, menjadikannya kosnya terlalu tinggi untuk dibatalkan.

Wan Agyl menegaskan bahawa kestabilan politik diperlukan untuk memastikan kesinambungan projek, tetapi landskap politik Malaysia kini menjadi tidak menentu.

Katanya, gabungan politik dan kepimpinan yang sering berubah di Putrajaya sejak beberapa tahun lalu memberi kesan kepada beberapa projek mega.

“Adakah LRT Pulau Pinang mendapat sokongan dwipartisan untuk melindunginya daripada gangguan politik pada masa depan? Tanpa ini, projek yang mempunyai harapan besar juga boleh menjadi sasaran tentangan politik,” katanya.

Beliau turut menggesa kajian kritikal terhadap kesan sekiranya projek LRT Pulau Pinang dibatalkan, termasuk kehilangan pekerjaan, kemerosotan keyakinan pelabur, dan kesannya terhadap pembangunan bandar serta matlamat kelestarian alam sekitar.

Consilz Tan.

“Risiko sebenar perlu dibangkitkan dengan data dan ketelusan bukannya dengan andaian,” katanya.

Bagaimanapun, felo di badan pemikir Center for Market Education, Consilz Tan percaya projek LRT Pulau Pinang lebih selamat kerana ia di bawah kawalan kerajaan negeri.

Tan berkata kerajaan baharu tidak mungkin membatalkan projek itu memandangkan kosnya yang tinggi, sebelum ini dilaporkan melebihi RM10.5 bilion.

“Saya berharap sentimen politik tidak akan menyebabkan projek ini dibatalkan,” katanya, sambil menambah bahawa infrastruktur dan pengangkutan adalah penting untuk meningkatkan taraf hidup serta menarik pelaburan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.