
Chow Kon Yeow, yang semalam mengumumkan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) bersetuju dengan projek itu berkata, kekeliruan timbul kerana media melaporkan ia “diluluskan”.
Beliau berkata ketidaktepatan itu yang membawa kepada kenyataan Khalid Samad.
Chow berkata mengikut Seksyen 2(A)(2)(b) Akta Perancangan Bandar dan Desa, MPFN menasihatkan kerajaan persekutuan atau negeri dalam perkara berkaitan perancangan bandar.

Beliau berkata lebih tepat jika MPFN “beri lampu hijau”, istilah yang digunakan pentadbirannya sebelum ini.
Beliau berkata projek itu boleh diteruskan selagi kerajaan negeri mematuhi 18 nasihat MPFN.
Bagaimanapun, beliau berkata penilaian kesan alam sekitar (EIA) untuk pulau-pulau tebus guna itu ditolak tahun lepas dsebabkan kebimbangan terhadap kesan projek itu ke atas perikanan.
Beliau berkata EIA sepatutnya dipaparkan untuk maklum balas orang ramai pada 29 April. Oleh kerana ia ditolak, EIA baru diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar pada Februari.
Chow berkata ia akan mengambil masa setahun lagu untuk mematuhi sepenuhnya semua syarat sebelum projek dilaksanakan.
“Kami akan dapatkan semua kelulusan sebelum memulakan pembinaan. Saya tak boleh beri tarikh tepat bila kita boleh mulakannya. Kita perlu lakukan kerja reka bentuk terperinci dan aturan kewangannya. Ia juga tertakluk kepada sebaik mana kita boleh patuhi keperluan-keperluannya,” katanya.
Terdahulu, Chow mendedahkan nasihat 18 perkara daripada MPFN kepada kerajaan negeri berhubung 3 pulau tebus guna itu. Ia termasuk dasar melarang pembinaan pangsapuri berharga RM1 juta ke atas.
Kesimpulannya, beliau berkata keutamaan adalah meluaskan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke pulau tebus guna yang terletak di selatannya dan membina hab industri berteknologi tinggi.

Chow berkata kerajaan juga ada rancangan untnuk menghubungkan ketiga-tiga pulau itu dengan transit aliran ringan dan trem bagi memastikan ketersambungan.
Beliau berkata nisbah pengangkutan awam dan kenderaan persendirian di pulau itu nanti adalah 70:30, bagi melawan 3.2 juta tan pengeluaran karbon.
Chow berkata 10% hingga 14% daripada pulau itu akan diwartakan sebagai kawasan terbuka untuk rekreasi dan bagi menahan tsunami. Sekurang-kurangnya 30% perumahan di situ adalah mampu milik.
Pulau-pulau itu, sebelum ini dikenali sebagai Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR), berkeluasan hampir 17km persegi.
Pulau-pulau seluas 9.3, 4.45 dan 3.23km persegi akan ditebus guna di perairan Permatang Damar Laut, berdekatan Bayan Lepas.
Tanah yang ditebus guna itu milik kerajaan Pulau Pinang tetapi akan melelongnya kepada pembida tertinggi bagi membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) berharga RM46 bilion.
PTMP merancang beberapa lebuh raya, transit aliran ringan dan mod pengangkutan lain dibina dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.