
Fadillah berkata, dakwaan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa kawasannya tidak menerima dana disebabkan ‘politik balas dendam untuk menekan pengundi’ tidak tepat.
“Peruntukan sebanyak RM2.7 juta bagi pelaksanaan 60 projek atau program itu termasuk sembilan projek naik taraf dan baik pulih masjid dengan kos RM741,000 serta 18 Projek Mesra Rakyat dengan kos RM800,000.
“Justeru, dana sebanyak itu cukup membuktikan kerajaan perpaduan tidak pernah mengabaikan penduduk di mana-mana kawasan Parlimen, termasuk Muar,” katanya, lapor Berita Harian.
Fadillah yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air itu berkata demikian menjawab dakwaan Syed Saddiq pada Ahad bahawa kawasannya masih belum menerima sebarang peruntukan walaupun sudah lapan bulan perkara itu dibincangkan.
Bekas menteri belia dan sukan itu juga mendakwa sudah dua kali berjumpa Fadillah untuk membincangkan peruntukan bagi Muar.
Fadillah juga berkata, RM30.39 juta peruntukan sudah diluluskan bagi kawasan Parlimen Muar bawah Projek Pembangunan Kerajaan Persekutuan ‘Rolling Plan’ (RP4) 2024 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Ia membabitkan keseluruhan sembilan projek dengan lima daripadanya dalam peringkat pembinaan, satu projek pra-pelaksanaan, dua pasca pembinaan dan satu projek penggantian mesin MRI di Hospital Pakar Sultanah Fatimah bawah peruntukan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
“Lima projek dalam pelaksanaan ialah pembinaan Youth Hub Muar bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS); projek meroboh dan membina semula Jeti Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Marin Johor (Kementerian Dalam Negeri) dan penggantian mesin imbasan CT di Hospital Sultanah Fatimah (bawah KKM).”
Selain itu, katanya, dua lagi projek sedang dilaksanakan ialah Medan Selera Jeti Pekan Panchor dan Medan Selera Asam Pedas Parit Jawa bawah Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Fadillah berkata, dua projek dalam pasca pelaksanaan ialah pembinaan tabika di Kampung Orang Asli Bukit Panjang bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan penambakan pemecah ombak di Pengkalan Seri Menanti Laut bawah kementeriannya.
Satu-satunya projek pada peringkat pra-pelaksanaan ialah pembinaan Baraj Sungai Muar – Fasa 1, juga bawah kementeriannya, tambahnya.