
Bagaimanapun, beliau menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi DUN pada pilihan raya Sarawak akan datang, jika dapat persetujuan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), lapor The Borneo Post
Ahli Parlimen Kapit itu, yang mewakili kawasan tersebut hampir 30 tahun, berkata sudah tiba masanya untuk menyerahkan peranan di peringkat persekutuan kepada pemimpin muda.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk saya menyerahkan kepada generasi muda kerana kita sudah menyediakan mereka sebagai sebahagian daripada program parti,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PBB di Kuching.
“Bagaimanapun, jika ada peluang, saya berminat untuk bertanding dalam PRN, mungkin di kawasan DUN baharu. Tetapi itu bergantung kepada kepimpinan parti.”
Ditanya sama ada beliau mempunyai kawasan DUN tertentu dalam fikiran, beliau berkata ia pastinya dalam kawasan Parlimen Kapit.
Nanta, yang juga setiausaha agung PBB, menambah terdapat kemungkinan DUN baharu diwujudkan di Kapit.
Dalam perkembangan berasingan, Nanta berkata Kapit Cultural Festival akan diteruskan tahun ini, manakala majlis makan malam pra-Gawai akan diadakan di Song pada 1 Mei.