Kuala Dungun catat IPU tak sihat

Kuala Dungun catat IPU tak sihat

Kualiti udara tidak sihat dicatatkan ekoran kebakaran hutan belukar di Kampung Tok Kah.

Kuala Dungun, Terengganu mencatatkan bacaan IPU 153 setakat 11 pagi tadi. (Gambar APIMS)
PUTRAJAYA:
Kuala Dungun di Terengganu mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 11 pagi dengan bacaan 153, ekoran kebakaran hutan belukar di Kampung Tok Kah.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, susulan status bacaan IPU mencecah 151-200 dalam tempoh melebihi 24 jam di kawasan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan Pusat Kawalan Bencana Negara untuk tindakan hebahan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana ke negeri dan daerah terbabit.

Langkah ini bertujuan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat daerah/negeri dan segala tindak balas diambil berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

“JAS meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti pemantauan melalui darat dan udara dengan menggunakan dron serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

“Koordinasi antara agensi berkaitan bagi merancang kerja-kerja pemadaman dan kawalan kebakaran turut diadakan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, IPU yang direkodkan di laman sesawang JAS pada 11 pagi ini menunjukkan 34 kawasan lain mencatatkan status kualiti udara tahap baik manakala 32 kawasan mencatatkan kualiti udara tahap sederhana.

Wan Abdul Latiff turut menasihatkan semua pemilik tanah memantau rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri.

Mereka turut dinasihatkan mengambil langkah mencegah pencerobohan pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.