
Pewartaan itu dibuat selaras dengan subseksyen 31(1) Akta Kastam 1967 (Akta 235).
Ketua Pengarah Kastam Amran Ahmad berkata, langkah itu sejajar dengan keputusan yang dicapai melalui Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bilangan 2 Tahun 2026.
“Ia sebagai sebahagian usaha memperketat kawalan terhadap kemasukan sisa berbahaya ke dalam negara serta melindungi alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan dengan itu, katanya, Jabatan Kastam akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai agensi, khususnya Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta agensi penguatkuasaan lain seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Langkah itu bagi memastikan larangan terhadap pengimportan buangan terjadual, khususnya sisa elektronik dikuatkuasakan secara tegas dan berkesan selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Basel.
Malaysia menjadi negara parti kepada Konvensyen Basel pada 8 Okt 1993 dan JAS merupakan pihak berkuasa kompeten yang bertanggungjawab dalam pengurusan Konvensyen Basel di Malaysia.