
Ketuanya Adam Adli Abd Halim berkata satu mesyuarat khusus antara Pemuda kerajaan perpaduan akan diadakan pada malam ini bagi membincangkan mengenai PRK DUN Sungai Bakap.
“Setiap pihak dalam parti memang akan sentiasa diberikan peluang untuk memberi pencalonan mewakili sektor masing-masing. Itu bukan satu perkara yang akan kami risaukan.
“Pada masa sama, kita ada disiplin bahawa kita sentiasa beri sokongan yang penuh kepada mana-mana calon yang telah pun dipilih oleh parti,” katanya kepada pemberita selepas Kembara Jumpa Orang Muda di Dewan Konvensyen Seberang Perai (SP) Arena, Seberang Jaya.
Adam memaklumkan perbincangan calon masih dalam proses dan parti akan menentukan calon secara muktamad kelak.
Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff, pada 24 Mei lepas kerana mengalami keradangan dalam perut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas pada 6 Jun bagi membincangkan tarikh-tarikh penting pelaksanaan PRK DUN terbabit.
Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Zamri daripada PAS menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose, dengan majoriti 1,563 undi.
Berdasarkan rekod SPR bagi PRN 2023, DUN Sungai Bakap mempunyai 38,409 pemilih dengan 59.36% pengundi Melayu, 22.54% pengundi Cina, 17.39% pengundi India, dan 0.71% pengundi lain-lain.