
Mengalu-alukan siasatan SPRM, menteri belia dan sukan itu berkata, rakyat Malaysia berhak mengetahui kebenaran.
“Sekarang setelah siasatan bermula, saya mahu lihat kebenaran ditegakkan menerusi siasatan ini,” katanya di Facebook.
Beliau juga berkata, tidak wajar untuk beliau mengulas tentang isu ini kerana boleh dianggap mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.
“Atas sebab inilah saya tidak kata apa-apa sebelum ini kerana pada pandangan saya, cara terbaik untuk menangani dakwaan sedemikian adalah menyerahkan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk menyiasatnya,” katanya.
Semalam, Yeoh enggan mengulas apabila ditanya pemberita tentang kontroversi itu pada acara pelancaran Akaun Satelit Sukan 2022 di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana ia ‘tiada kaitan dengan KBS’.
Pelbagai pihak mempertikaikan kemungkinan wujudnya konflik kepentingan apabila Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti), yang diterajui suami Yeoh, M Ramachandran, dipilih sebagai salah satu daripada dua syarikat menjalankan bukti konsep projek ‘demand-responsive transit’ (DRT) selama sembilan bulan.
Semalam dilaporkan SPRM sedang menyiasat petunjuk baharu berhubung kontrak kerajaan Selangor melibatkan syarikat yang diasaskan bersama oleh Ramachandran itu.
Sumber SPRM berkata, petunjuk baharu itu ditemukan hasil aduan dan maklumat yang diterima baru-baru ini. Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan kesahihan maklumat tersebut, katanya.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, agensi itu tidak menemukan sebarang salah laku dalam siasatan awal. Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut boleh diteruskan berdasarkan petunjuk baharu.
Semalam, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, beliau sedia mendedahkan butiran lengkap berhubung pelantikan Asia Mobiliti dan minit mesyuarat melibatkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).