Ibu bapa Zayn Rayyan direman 7 hari

Ibu bapa Zayn Rayyan direman 7 hari

Perintah reman itu dikeluarkan Mahkamah Majistret selepas membenarkan permohonan yang dibuat polis.

Aliran anak sungai lokasi jasad Zayn Rayyan Abdul Matiin ditemui mati akibat dibunuh di Damansara Damai pada Disember tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemukan mati dibunuh dalam kejadian di Damansara Damai, Disember lalu direman tujuh hari.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ainaa Mohd Kamal selepas membenarkan permohonan yang dibuat polis, lapor Sinar Harian.

Menurut Sinar Harian, pasangan berusia 28 tahun itu tiba di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dengan memakai baju lokap berwarna oren dan direman sehingga Jumaat ini.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata pasangan berkenaan ditahan semalam di Puncak Alam bagi membantu siasatan kes kematian kanak-kanak autisme itu.

Katanya, pasangan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan hilang pada 5 Dis lepas di Damansara Damai, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman, pada keesokannya.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan badan akibat mempertahankan diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.