
Penjenamaan semula itu diumumkan pada majlis makan malam gala yang menampilkan ratu pop, Siti Nurhaliza, yang melancarkan acara dengan nyanyiannya, selain pelawak Douglas Lim yang menunjukkan telatah lucunya sebagai pengacara.
Tetamu juga menonton persembahan muzikal sejarah 200 tahun SD Guthrie, dengan beberapa aksi yang menonjolkan peristiwa penting.
Pengerusi kumpulan SD Guthrie, Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, berkata penjenamaan semula itu merupakan langkah strategik untuk mencerminkan evolusi syarikat menjadi pemain industri bersepadu sepenuhnya, dengan perniagaan hiliran yang ketara dan potensi pertumbuhan dalam segmen pembangunan hartanah.

“Kita mempunyai peluang pertumbuhan yang melangkaui sektor perladangan dan kita mahu mengawal jenama sendiri. Ini menjadikan peralihan daripada jenama Sime Darby sesuatu yang perlu,” katanya dalam ucapan pada majlis itu malam tadi.
Menegaskan sudah tiba masanya untuk syarikat mara, beliau melahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang memainkan peranan dalam kejayaan SD Guthrie setakat ini.
Tetapi, katanya, untuk bergerak ke peringkat seterusnya, ia ‘memerlukan anjakan paradigma untuk SD Guthrie’.
“Kita pernah menjadi syarikat yang dipacu teknologi. Kini, kita syarikat digital yang memberi tumpuan kepada perladangan dalam segmen huluan, manakala dalam perniagaan hiliran kami mempunyai tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan perindustrian sebagai teras,” kata Nik Norzrul.
Jenama ‘Sime Darby’ dimiliki dan dikawal oleh Sime Darby Bhd, bekas syarikat induknya. Permodalan Nasional Bhd kini merupakan pemegang saham pengendali SD Guthrie dengan 55.1% kepentingan, diikuti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan 15.2%.
Syarikat itu bermula sebagai Guthrie and Co, sebuah syarikat perdagangan di Singapura pada 1821. Selama bertahun-tahun, melalui pelbagai eksesais korporat, ia berkembang menjadi salah satu syarikat perladangan terbesar di dunia sebagai sebahagian daripada kumpulan Sime Darby.

“Ini satu peristiwa penting dalam sejarah 200 tahun syarikat dan ia pada waktu yang penting bagi kami sebagai sebuah organisasi,” kata Nik Norzrul.
Beliau berkata kualiti seperti cita-cita, daya usaha, dan daya tahan yang mendorong kebangkitan SD Guthrie sepanjang dua abad terus menjadi ciri penting syarikat.
“Ini cara kita memberi penghormatan kepada masa lalu sebagai sebahagian daripada Kumpulan Sime Darby serta kelahiran kita lebih 200 tahun lalu di bawah pimpinan Alexander Guthrie,” katanya.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita berbangga dengan apa yang Guthrie tonjolkan dalam sejarah korporat kami,” tambahnya.
Penjenamaan semula itu juga berfungsi sebagai penghormatan kepada mereka di sebalik peristiwa bersejarah — pengambilalihan Guthrie oleh Permodalan Nasional Bhd di Bursa Saham London pada 1981. Usaha itu mengambil masa hanya empat jam.
Peristiwa terkenal itu digelar sebagai ‘Guthrie Dawn Raid’.
Detik penting itu menyerlahkan daya saing Malaysia dalam dunia perniagaan, menandakan peristiwa penting dalam sejarah korporat negara.

Nik Norzrul berkata keputusan untuk menjenamakan semula Sime Darby Plantation kepada SD Guthrie dibuat selepas berbulan-bulan berbincang dengan pakar undang-undang, harta intelek, dan identiti jenama.
Sejumlah 99.99% pemegang saham yang menghadiri mesyuarat agung luar biasa mengenai pelan penjenamaan semula mengundi untuk menyokong perubahan itu.
Seperti yang dinyatakan Nik Norzrul, sekarang masa untuk syarikat melihat ke depan.
“Kami mahu mara dengan pantas selepas penjenamaan semula ini,” katanya.
Beliau berkata SD Guthrie akan melibatkan diri dengan semua pihak berkepentingan utama untuk memastikan mereka sedar tentang pertukaran nama itu.
“Mereka mesti faham bahawa pertukaran nama ini tidak akan mengubah identiti teras kami. Tujuan kami dan nilai teras kami kekal sama,” tambahnya.