Pecah amanah, bekas presiden persatuan orang cacat dipenjara 3 hari, denda RM80,000

Pecah amanah, bekas presiden persatuan orang cacat dipenjara 3 hari, denda RM80,000

Kamarulzaman Abdullah, 65, didakwa memindahkan sebahagian hasil jualan tanah persatuan ke akaun peribadi dan anak tirinya.

presiden persatuan orang cacat
Kamarulzaman Abdullah, 65, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas 3 tuduhan pecah amanah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas presiden Persatuan Pemulihan Orang Cacat (PPOC) Perak dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM80,000 hari ini kerana melakukan pecah amanah melibatkan sejumlah wang bernilai RM492,474 empat tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh Ibrahim Osman menjatuhkan hukuman itu selepas Kamarulzaman Abdullah, 65, mengaku bersalah atas tiga tuduhan, memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara satu hari bermula dari tarikh jatuh hukuman bagi setiap tuduhan.

Mahkamah turut menetapkan tertuduh didenda RM40,000, dan empat bulan penjara jika gagal membayarnya bagi tuduhan pertama, serta denda RM20,000 dan dua bulan penjara jika gagal membayarnya, masing-masing untuk tuduhan kedua dan ketiga.

Pada masa sama, mahkamah menetapkan wang tunai berjumlah RM11,200 dilucut hak kepada kerajaan bawah Seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Selain itu, sejumlah RM49,903 wang simpanan di empat bank berasingan, termasuk faedah sehingga hari ini, turut dilucut hak kepada kerajaan mengikut seksyen sama.

Mengikut tuduhan pertama, tertuduh sebagai presiden PPOC yang diamanahkan dengan wang hasil jualan dua bidang tanah di Kampung Tengku Husin Baharu milik persatuan itu, bernilai RM540,000, didakwa melakukan pecah amanah dengan memindahkan sebahagian wang berjumlah RM413,974 ke akaun peribadinya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Gunung Rapat pada Disember 2019.

Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah dengan memindahkan sebahagian wang hasil jualan tanah sama berjumlah RM30,000 ke akaun sebuah kedai serbaneka milik anak tirinya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Gunung Rapat pada November 2019.

Menurut tuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama dengan memindahkan sebahagian wang penjualan tanah itu berjumlah RM48,500 kepada sebuah syarikat juga milik anak tirinya, di Maybank cawangan sama pada Januari 2020.

Bagi ketiga-tiga kesalahan, Kamarulzaman dituduh bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat, serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Mohd Shafiqzan Suhaimi dan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Kamarulzaman dilantik sebagai presiden PPOC Perak dan selaku ahli Lembaga Pengarah PPOC Corporation Sdn Bhd dari 2016 hingga 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.