Pegawai PBT mengaku tak salah terima suapan RM47,000

Pegawai PBT mengaku tak salah terima suapan RM47,000

Tertuduh, Hamiza Hasnin, 53, bertugas di Unit Korporat, Pelancongan dan Perhubungan Awam MPPD.

bribery rasuah
Hamiza Hasnin didakwa atas 6 tuduhan salah guna kedudukan untuk terima suapan antara Jun 2022 hingga Mac 2024.
SEREMBAN:
Seorang penolong pegawai tadbir di sebuah majlis perbandaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas enam tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah lebih RM47,000, antara Jun 2022 hingga Mac 2024.

Hamiza Hasnin, 53, yang bertugas di Unit Korporat, Pelancongan dan Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) membuat pengakuan berkenaan selepas kesemua tuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim N Kanageswari.

Tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan melalui kontrak perkhidmatan berkaitan beberapa program anjuran jabatan itu berjumlah antara RM1,020 hingga RM16,100 bagi syarikat milik menantunya dengan mencadangkan sebut harga syarikat tersebut sebagai pembekal kepada Bahagian Perolehan, Pengurusan Aset dan Stor MPPD.

Selain itu, dia turut didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan wang berjumlah RM8,141 bagi dirinya sendiri dengan mencadangkan sebut harga syarikat sama sebagai pembekal bagi satu program lain anjuran jabatan itu bernilai RM8,570.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di MPPD antara 23 Jun 2022 hingga Mac 2024 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Syairah Aqilah Khalil menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan, iaitu melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Shaharuddin Mohamed memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya hanya berpendapatan RM4,000 sebulan dan tidak mempunyai sumber kewangan lain.

Selain itu, anak guamnya turut menanggung anak yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tambahnya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain bersetuju dengan syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan.

Hakim menetapkan 13 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.