Kes serangan jantung, strok, darah beku kini tiada kaitan vaksin AZ, jelas Hisham

Kes serangan jantung, strok, darah beku kini tiada kaitan vaksin AZ, jelas Hisham

Bekas ketua pengarah kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tiada lagi program vaksinasi menggunakan vaksin AstraZeneca kebelakangan ini.

Serangan jantung, strok dan masalah pembekuan darah yang masih berlaku kini disebabkan faktor risiko lain, menurut bekas ketua pengarah kesihatan.
PETALING JAYA:
Kes serangan jantung, strok, dan masalah pembekuan darah yang masih lagi berlaku kini tiada kaitan dengan vaksin AstraZeneca, kata bekas ketua pengarah kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini kerana, katanya, tiada lagi program vaksinasi menggunakan vaksin AstraZeneca kebelakangan ini, selain ia tidak digunakan untuk dos penggalak.

“Serangan jantung, strok dan masalah pembekuan darah yang masih berlaku kini disebabkan faktor risiko lain seperti merokok, masalah kolesterol, dan masalah kencing manis,” katanya di Facebook.

Dalam penjelasannya, Hisham berkata kesan sampingan dikaitkan dengan vaksin AstraZeneca adalah kesan darah beku atau ‘Vaccine Induced Immune Thrombotic Thrombocytopenia’ (VITT).

Menurutnya, VITT atau darah membeku bersama dengan sel darah kuning menjadi kurang “hanya berlaku dalam sela masa empat hari hingga empat minggu selepas menerima vaksinasi”.

Hisham meminta orang ramai tidak risau kerana vaksinasi terakhir AstraZeneca “telah berlalu bertahun lamanya”, serta kes mahkamah yang diuar-uarkan berlaku di United Kingdom ketika pandemik Covid-19 dan bukan berdasarkan kes yang berlaku baru-baru ini.

Ketika pandemik melanda Malaysia, golongan berisiko tinggi iaitu yang pernah mempunyai sejarah pembekuan darah tidak dibenarkan menerima vaksin jenis AstraZeneca, katanya.

Kementerian juga mengeluarkan garis panduan bagi menyaring golongan berisiko tinggi, dan untuk pengesanan awal sekiranya kesan sampingan ini berlaku Kesan Advers Susulan Imunisasi.

“Insiden VITT juga sangat rendah iaitu empat kes berlaku dalam satu setiap juta suntikan. Jika dibandingkan dengan risiko darah beku dan platelet rendah selepas jangkitan Covid-19 itu sendiri, ia lebih selamat,” katanya.

“Insiden darah beku dalam kalangan perokok pula adalah lebih tinggi iaitu hampir 1,800 kes dalam satu juta perokok.”

Hisham menambah tiada lagi kes VITT dikesan dan dilaporkan kini.

Selain meminta orang ramai membezakan antara VITT dengan masalah pembekuan darah yang lain, Hisham mengingatkan bahawa diagnosis tidak boleh dibuat dengan mata kasar tanpa pemeriksaan dan pengesahan oleh pegawai perubatan.

“Kriteria diagnosis VITT mestilah ianya berlaku dalam sela masa 4 minggu selepas vaksinasi dan perlu ada nilai platelet yang rendah,” katanya.

“Kita perlu berhati-hati dengan analisa fakta dan salah tafsir yang akan menyebabkan kekusutan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.