Sasar scam warga AS, 12 dicekup

Sasar scam warga AS, 12 dicekup

Mereka menerima empat peratus komisen daripada jumlah kerugian dialami mangsa.

DATUK SERI RAMLI MOHAMED YOOSUF
Pengarah JSJK Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf, berkata sindiket Love Scam sasar warga AS dengan cipta akaun media palsu dan tawar pautan judi memerangkap mangsa. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
12 individu termasuk satu wanita ditahan disyaki terlibat sindiket penipuan Love Scam dan judi dalam talian menyasarkan warganegara Amerika Syarikat sebagai mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata semua suspek berusia 18 hingga 43 tahun itu ditahan di sebuah kediaman di ibu negara pada 16 Mei.

Beliau berkata, pihaknya merampas antaranya sembilan unit komputer riba, 33 unit telefon bimbit, seutas rantai manik, lima bentuk cincin, dua utas jam tangan mewah, dan wang tunai pelbagai mata wang.

“Sindiket beroperasi sejak April. Semua individu ditahan berperanan sebagai ejen pusat panggilan dan menerima gaji RM2,500 sebulan serta empat peratus komisen daripada jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ.

Beliau berkata bagi memperdaya mangsa, sindiket mencipta akaun media sosial palsu melalui Facebook dan Instagram seterusnya berkenalan dengan mangsa dalam kalangan rakyat Amerika Syarikat.

Ramli berkata, mangsa kemudian ditawarkan pautan judi dalam talian dan akan kehilangan semua wang dipertaruhkan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.