Suruhanjaya Gig dibentang pada Julai, kata PM

Suruhanjaya Gig dibentang pada Julai, kata PM

Suruhanjaya itu mahu beri tumpuan memenuhi keperluan sosial, penyelesaian pertikaian kontrak, dan mendorong kemajuan kerjaya.

Anwar Ibrahim berkata kerajaan bukan sahaja santuni permintaan belia, malah berusaha merealisasikan penubuhan Suruhanjaya Gig. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan akan membentangkan rang undang-undang berkaitan Suruhanjaya Gig di Parlimen pada Julai, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kerajaan mengambil langkah membentangkan rang undang-undang berkenaan, selepas mendapat usul daripada golongan belia sebelum ini.

“Baru-baru ini ada usul daripada belia-belia. Dia minta supaya adakan Suruhanjaya Gig kerana puluhan ribu malah mencecah 100,000 anak-anak muda (bekerja) dalam (sektor) ekonomi gig.

“Kerajaan terus (rangka) dan kita telah siapkan undang-undang (Suruhanjaya Gig) dan insya-Allah boleh dibentangkan di Parlimen pada Julai akan datang, dan bila kita dengar suara belia, kita cuba bukan sekadar santuni tapi kita laksanakan (permintaan belia),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 peringkat Kebangsaan di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, lapor Bernama.

Anwar, ketika berucap pada penutup Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Putrajaya Mac lalu, mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig itu bagi melindungi hak 1.12 juta pekerja gig, dengan tumpuan untuk memenuhi keperluan sosial, menyelesaikan pertikaian kontrak dan mendorong kemajuan kerjaya golongan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM3 juta kepada Majlis Belia Malaysia, bagi melaksanakan program dan pengurusan kelab-kelab belia seluruh negara.

“Dan untuk (program) Rakan Muda yang menjadi keutamaan, ditambah oleh Kementerian Belia (dan Sukan) dan program belia mesti diberikan keutamaan dan dukungan, jadi saya setuju menyerahkan (perkara) ini kepada Hannah, supaya kita lengkapkan menjadi RM10 juta tahun ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.