
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, mengumumkan siasatan dimulakan susulan kemunculan video tersebut di laman sosial X hari ini.
“Video ini merupakan bahan bukti yang masih dalam siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan berkaitan pendedahan maklumat, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara bagi tempoh boleh sampai satu tahun, atau kedua-duanya.
Siasatan juga dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, iaitu menggunakan kemudahan rangkaian untuk menghantar komen, permintaan, cadangan atau komunikasi palsu, yang juga sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya.
“Polis memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang sengaja menyebarkan video sekali gus mengganggu siasatan,” katanya.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video tersebut, dan menghormati serta menjaga sensitiviti mangsa dan keluarga.
Faisal Halim kini dirawat di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur dan menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani pembedahan keempat baru-baru ini.
Serangan pada 5 Mei lalu itu menyebabkan pemain Selangor FC dan Harimau Malaya itu mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan.