Pegawai khas bekas peguam negara rayu saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown

Pegawai khas bekas peguam negara rayu saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown

Sebelum ini mahkamah menolak saman selepas mendapati plaintif gagal menterjemah artikel didakwa berunsur fitnah ke bahasa Melayu.

Clare-Rewcastle
Mabel Sheela Mutthiah memfailkan saman terhadap Clare Rewcastle-Brown (gambar) pada 2019 berhubung artikel didakwa mengaitkannya dengan mesej dihantar kepada keluarga Kevin Morais, yang dibunuh pada 2015. (Gambar AFP)
PUTRAJAYA:
Pegawai khas bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali iaitu Mabel Sheela Mutthiah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnahnya terhadap Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown.

Rayuan itu difailkan oleh firma guaman David Gurupatham & Koay semalam, yang mewakili hakim Mahkamah Sesyen yang bersara itu.

Saman terbabit berkaitan tiga artikel diterbitkan dalam Sarawak Report, termasuk artikel bertajuk How AG’s Office Connived to Prevent a Second Post-mortem on Kevin Morais – Exclusive Expose.

Pada 2 Mei, Pesuruhjaya Kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menolak saman dengan kos RM15,000, selepas mendapati plaintif (Mabel) gagal menterjemah artikel yang didakwa berunsur fitnah itu ke bahasa Melayu.

Beliau berkata, syarat bagi pliding lengkap dalam bahasa Melayu secara asasnya dikaitkan dengan keluhuran bahasa itu sebagai bahasa kebangsaan.

Beliau berkata, peruntukan berkaitan termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Aturan 92 Kaedah 1 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Raja Ahmad Mohzanuddin berkata, artikel itu secara jelas mencadangkan bahawa plaintif terlibat dalam satu konspirasi di peringkat tertinggi untuk menipu keluarga mendiang Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais berhubung hak mereka kepada laporan bedah siasat kedua yang bebas.

Bagaimanapun, beliau berkata plaintif tidak berhak mendapat sebarang ganti rugi susulan penerbitan artikel berunsur fitnah itu akibat kegagalan menyediakan terjemahan yang diperakui dalam bahasa Melayu.

Mabel memfailkan saman terhadap Rewcastle-Brown pada 2019 berhubung artikel yang didakwa mengaitkan beliau dengan mesej teks dihantar kepada keluarga Morais, yang dibunuh pada September 2015.

Beliau menafikan dakwaan yang disiarkan dalam artikel itu dan memulakan tindakan saman bagi menuntut ganti rugi daripada Rewcastle-Brown, serta perintah mahkamah agar artikel itu dikeluarkan daripada laman sesawang Sarawak Report.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.