Pasangan kekasih disyaki buang bayi direman 3 hari

Pasangan kekasih disyaki buang bayi direman 3 hari

Dalam kejadian Sabtu lepas, bayi lelaki cukup sifat berusia seminggu itu ditinggalkan di sebuah kedai menjual ayam di Chukai, Terengganu.

Mahkamah Majistret Kemaman membenarkan perintah reman tiga hari terhadap pasangan kekasih itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. (Gambar Facebook)
CHUKAI:
Mahkamah Majistret Kemaman di sini hari ini membenarkan reman tiga hari terhadap seorang wanita yang disyaki membuang bayi lelakinya berusia seminggu di sebuah kedai menjual ayam di Jabur Kubur, Jalan Air Putih di sini, Sabtu lepas.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin di Hospital Kemaman ke atas suspek berusia 21 tahun yang kini dirawat di wad bersalin hospital berkenaan.

Beliau juga membenarkan reman untuk tempoh sama terhadap seorang lelaki berusia 24 tahun yang dipercayai kekasih wanita berkenaan.

Kedua-dua suspek ditahan di sekitar Jabur Kubur dan pekan Chukai, di sini antara 11 pagi hingga 3 petang, semalam.

Sabtu lepas, seorang bayi lelaki yang sudah tertanggal tali pusat dijumpai di atas lantai sebuah kedai menjual ayam dengan hanya beralaskan baju dan dalam keadaan menggigil kesejukan oleh seorang pemandu lori ayam kira-kira 7.30 pagi.

Bayi cukup sifat seberat tiga kilogram itu dilahirkan pada 12 Mei lepas di rumah suspek lelaki itu di Jabur Kubur sebelum ditinggalkan di kedai terbabit pada 18 Mei.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.