Peminjam Kowamas disenarai hitam kerana kos tambahan tanpa pengetahuan

Peminjam Kowamas disenarai hitam kerana kos tambahan tanpa pengetahuan

Peminjam sudah menyelesaikan hutang, namun masih disenarai hitam kerana bank mengenakan kos tambahan tanpa pengetahuan mereka, menurut Kowamas.

Kowamas berkata, pihaknya telah berhubung dengan bank berhubung status CCRIS peminjam terbabit, dan kedua-dua pihak sedang dalam proses intensif untuk menangani isu tersebut dengan segera. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Koperasi Wawasan Malaysia (Kowamas) mengesahkan tiga peminjam, yang namanya disenarai hitam oleh bank, sudah menyelesaikan bayaran pinjaman peribadi masing-masing melalui potongan bulanan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

Bagaimanapun, nama mereka masih disenarai hitam kerana bank mengenakan kos tambahan tanpa pengetahuan peminjam mahupun koperasi.

“Kowamas telahpun berhubung dengan sebuah bank mengenai dakwaan penama-penama tersebut, berkenaan status CCRIS masing-masing, dan kedua-dua pihak sedang dalam proses intensif untuk menangani isu tersebut dengan segera.

“Kowamas amat prihatin tentang isu-isu yang melibatkan ahli dan sentiasa bersedia membantu menyelesaikan sebarang isu yang timbul dengan kadar segera,” kata Kowamas dalam kenyataan di laman sesawangnya.

Tiga peminjam itu sebelum ini memberitahu FMT, nama mereka disenarai hitam bawah CCRIS, atau sistem maklumat rujukan kredit pusat, walaupun sudah melangsaikan pinjaman.

Keadaan itu menyebabkan ada antara peminjam terbabit, terdiri daripada penjawat awam, tidak boleh mendapatkan pinjaman lain untuk tujuan perubatan atau pembelian rumah.

Mereka juga mendakwa sukar mendapatkan kerjasama pengurusan Kowamas menyebabkan mereka nekad mendedahkan isu ini kepada media.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick memaklumkan, kementeriannya sedang menyiasat kes itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Ahmad Norihan Jalal berkata, pihaknya sudah menghubungi Kowamas bagi menyiasat punca masalah berkenaan, dan pihak koperasi memberikan kerjasama yang baik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.