Melaka peroleh RM300,000 untuk bina litar kereta kawalan jauh

Melaka peroleh RM300,000 untuk bina litar kereta kawalan jauh

Litar bertaraf antarabangsa itu dijangka mula dibina November depan di tapak berhampiran Pantai Tanjung Bidara.

litar rc
Kerajaan Melaka akan mula membina litar kereta kawalan jauh bertaraf antarabangsa November ini, yang diharapkan mampu merancakkan industri pelancongan di Pantai Tanjung Bidara. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan Melaka berjaya memperoleh kelulusan peruntukan RM300,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membina litar kereta kawalan jauh bertaraf antarabangsa.

Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh berkata, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka telah menjalankan kajian dan mengenal pasti lokasi bersesuaian untuk pelaksanaan projek tersebut.

Cadangan pembinaan litar yang telah diusahakan sejak tahun lepas itu akan bermula November depan di tapak berkeluasan sehektar berhampiran Pantai Tanjung Bidara.

“Pada masa ini, kita juga sedang mencari penaja untuk terlibat dalam projek ini dan litar itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 18 bulan,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Kereta Kawalan Jauh Piala Ketua Menteri Melaka, lapor Bernama.

Ab Rauf berkata, litar tersebut juga akan menjadi pusat latihan buat peminat sukan itu, selain mampu merancakkan industri pelancongan di Pantai Tanjung Bidara.

Katanya, kerajaan negeri turut bercadang membangunkan pusat kenderaan rekreasi (RV) berhampiran kawasan pantai peranginan itu, serta berusaha menaik taraf kemudahan, termasuk gerai-gerai untuk menarik kedatangan pelancong.

“Dengan adanya pelbagai kemudahan di situ, ia pastinya dapat menarik lebih ramai pengunjung ke Pantai Tanjung Bidara pada masa akan datang, dan secara tidak langsung merancakkan ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.