
Profesor di UCSI University, Tajuddin Rasdi, berkata pelajar terbabit berusaha mempertahankan objektif penubuhan UiTM sebagai institusi Bumiputera sahaja tanpa memahami konteksnya dalam sejarah negara dan keperluan semasa.
Beliau berkata UiTM diasaskan melalui keterbukaan kumpulan etnik lain di negara ini yang bersedia memberi peluang kepada pelajar Bumiputera melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi bagi menangani masalah ekonomi yang dihadapi masyarakat ketika itu.
“Membiarkan segelintir bukan Bumiputera masuk untuk tempoh sementara akan menunjukkan penghargaan kita kepada pemimpin terdahulu pelbagai kumpulan etnik yang membenarkan dana awam digunakan untuk tujuan tersebut,” kata Tajuddin kepada FMT.
Pada Khamis, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM melancarkan bantahan terhadap gesaan kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks dengan menggesa semua pelajar memakai pakaian hitam.
Ia berkata semua 214 ahlinya berhasrat mempertahankan objektif penubuhan UiTM sebagai institusi untuk orang Melayu, Orang Asli dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.
Bantahan itu dibuat selepas Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa UiTM minggu lalu supaya mengutamakan kesihatan awam dengan membuka sementara program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks kepada pelajar bukan Bumiputera, berikutan kekurangan pakar dan pakar bedah dalam bidang itu.
Portal berita kesihatan CodeBlue baru-baru ini melaporkan bahawa UiTM bersedia untuk menerima pelatih bukan Bumiputera ke dalam program pembedahan kardiotoraksnya secara ‘sementara’.
Cadangan itu dikemukakan oleh Dr Raja Amin Raja Mokhtar dari Fakulti Perubatan UiTM untuk menyelesaikan kebuntuan yang timbul selepas Majlis Perubatan Malaysia (MPM) enggan mengiktiraf kelayakan yang diperoleh di bawah program laluan selari Kementerian Kesihatan.
Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir berkata kementeriannya tidak mempertimbangkan untuk melonggarkan dasar kemasukan universiti bagi tujuan itu dan berkata isu terbabit dijadikan polemik.
Sementara itu, Johan Ariffin Samad, ahli kumpulan G25, menyifatkan tindakan pelajar itu sebagai ‘pramatang’ kerana cadangan itu terhad kepada satu kursus sahaja.
Bekas timbalan pengarah Yayasan Sabah itu berkata pelajar institusi terbabit terlepas peluang untuk berbincang sama ada universiti itu perlu menjadi lebih inklusif.
“Sebuah universiti sepatutnya menjadi satu idea ‘laissez-faire’ di mana anda boleh berfikir dan berbincang secara terbuka tanpa sebarang tuduhan,” kata Johan.
Bekas Ahli Parlimen Sungai Benut Tawfik Ismail menyifatkan tindakan pelajar itu sebagai ‘beremosi’ dan ‘berfikiran sempit’, sambil berkata cadangan MMA adalah praktikal berikutan situasi yang dihadapi negara.
Beliau berkata, pelajar harus menumpukan kepada isu yang lebih penting, seperti membela nasib rakyat Palestin yang berdepan kekejaman Israel.
“Banyak isu yang patut diberi perhatian oleh pelajar, tetapi mereka fokus kepada perkara remeh, yang saya tidak faham.
“Keutamaan mereka tidak cukup luas. Sebagai pelajar, ke mana perginya idealisme mereka?” katanya.