
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata pegawai dan anggota di lapangan juga kini berada pada tahap kewaspadaan tinggi terutama mereka yang bekerja pada syif luar waktu pejabat.
“Kawalan di balai-balai polis memang sentiasa dilaksanakan dan ada prosedur kawalan keselamatan cuma kadang-kadang kewaspadaan mungkin kurang sebab kita nak wujudkan suasana mesra pelanggan.
“Jadi selepas ini kita akan memperketat dan kemaskan lagi pemeriksaan untuk sesiapa yang masuk ke balai terutama pada waktu malam,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, walaupun langkah itu mungkin mendatangkan kesulitan kepada orang awam berurusan di balai polis selepas waktu pejabat, namun pihaknya memberi jaminan suasana mesra pelanggan tetap diterapkan tetapi pada masa sama memastikan keselamatan anggota dan pegawai bertugas terjamin.
Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata semua 10 IPD, 57 balai dan 27 pondok polis di negeri itu diarahkan memperkemaskan sistem pertahanan sedia ada bagi memastikan kesiapsiagaan anggota.
“Persekitaran balai dan pondok polis termasuk di daerah-daerah bersempadan dengan Thailand juga akan dipertingkatkan tahap kesiapsiagaan,” katanya.
Menurutnya, ia termasuk sistem pencahayaan yang lebih terang agar mudah mengawasi sebarang pergerakan mencurigakan, selain memastikan kompleks perumahan polis di negeri itu sentiasa dalam keadaan selamat.
Ketua Polis Kedah, Fisol Salleh, berkata tahap keselamatan anggota dan pegawainya merupakan penekanan yang dititikberatkan sejak mula menggalas tugas sebagai ketua polis negeri Jun tahun lalu.
“Penekanan keselamatan ini termasuk terhadap individu dan tempat mereka bertugas…anggota baharu juga memang sudah sedia diberi latihan semasa awal kemasukan mereka dahulu tetapi kita mantapkan lagi latihan mereka supaya tahu apa yang perlu dibuat sekiranya berdepan dengan situasi membahayakan keselamatan mereka,” katanya.
Katanya, tahap keselamatan di sempadan juga diberi penekanan termasuk agensi penguat kuasa yang lain bagi memastikan tidak berlaku sebarang aktiviti jenayah.
Di Sarawak, semua ketua jabatan IPK serta ketua polis daerah diarahkan untuk meningkatkan kawalan keselamatan serta pertahanan balai polis di seluruh negeri itu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mancha Ata, berkata mereka juga diminta merancang pelan kawalan keselamatan yang lebih teliti.
“Saya juga sudah meminta mereka untuk memantau elemen-elemen yang ada kaitan dengan kumpulan pengganas di kawasan masing-masing,” katanya.
Di Lahad Datu, Sabah, Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Victor Sanjos, berkata tiada ancaman keselamatan dikesan pada masa ini di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).
“Sempadan kita di kawasan Timur (Sabah) selamat dan dalam situasi yang baik,” katanya.