Tertipu pelaburan tak wujud, peniaga rugi lebih RM1 juta

Tertipu pelaburan tak wujud, peniaga rugi lebih RM1 juta

Mangsa membuat bayaran modal sebanyak lebih 20 kali sehingga melebihi jumlah RM1 juta, menurut polis.

Mangsa terlibat dengan penipuan pelaburan tidak wujud di Facebook setelah menekan satu pautan yang dihantar kepadanya, menurut polis.
PETALING JAYA:
Seorang peniaga rugi lebih RM1 juta selepas tertipu dengan tawaran pelaburan yang tidak wujud melalui laman media sosial Facebook sejak Februari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPK Kedah Loi Yew Lik berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 57 tahun itu di Balai Polis Kulim pada 9 Mei lepas.

“Mangsa menekan satu pautan yang dihantar kepadanya sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp. Pada awalnya, mangsa membuat bayaran modal berjumlah RM2,000 dan mendapat keuntungan kembali berjumlah RM780.

“Setelah itu, mangsa membuat bayaran modal lagi sebanyak 21 kali ke nombor akaun bank yang telah diberikan oleh suspek sehingga berjumlah lebih RM1 juta,” katanya, lapor Bernama.

Loi berkata, mangsa yang tidak mendapat sebarang pulangan keuntungan daripada pelaburan ‘Warburg Pincus Legacy’ itu kemudian diminta membuat bayaran tambahan berjumlah RM900,000 bagi mendapatkan kembali kesemua wangnya.

Bagaimanapun, mangsa enggan membuat bayaran tambahan berkenaan kerana mula curiga dan percaya dirinya ditipu.

“Hasil siasatan mendapati laman media sosial Facebook itu palsu dan menggunakan nama sebuah syarikat pelaburan antarabangsa,” kata Loi.

Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.