
Abdul Muiz Ramli, 31, yang kini jurutera kualiti sebuah syarikat swasta berkata, apabila si mati (Soosaimanicckam), tidak dapat melengkapkan latihan diberikan, mendiang kerap diasingkan jurulatih bertugas.
“Saya rasa si mati memang di ‘target’ pegawai-pegawai. Saya dengar mereka gelak-gelak apabila memantau Soosamanickam melakukan latihan yang diberikan.
“Apabila Soosamanickam diasingkan, dia akan diarah menjalani latihan seperti ‘push up’ dan ‘star jump’ di bawah pengawasan leftenan muda,” katanya ketika membaca pernyataan saksinya dalam saman difailkan S Joseph selaku plaintif terhadap 11 individu, antaranya kapten dan pegawai TLDM, panglima TLDM, Majlis Angkatan Tentera, menteri pertahanan dan kerajaan Malaysia.
Semasa pemeriksaan balas oleh Peguam Persekutuan Abdul Hakim Abdul Karim, saksi plaintif ketujuh itu berkata si mati menjadi sasaran pegawai berdasarkan anggapannya, bukannya fakta.
Abdul Hakim: Merujuk pernyataan saksi Encik Muiz mengenai di-target itu. Saya katakan jawapan ini hanya pandangan atau anggapan Encik Muiz.
Muiz: Kalau ikut di-target itu adalah pandangan saya.
Abdul Hakim: Encik Muiz ada nyatakan ‘Saya dengar mereka gelak-gelak’, itu pandangan atau fakta dan Muiz menjawab: Itu fakta.
Saksi berkata Soosamanickam selalu dikelilingi tiga hingga empat leftenan muda, manakala pelatih lain hanya ada seorang pegawai memantau.
“Saya turut perasan lebih banyak leftenan muda mengawasi Soosaimanicckam berbanding pelatih-pelatih lain,” katanya.
Muiz berkata beliau turut menjalani latihan bersama Soosamanickam kerana mereka ditempatkan dalam bahagian sama sejak mendaftar pada 12 Mei 2018.
Menerusi saman difailkan 19 Mei 2021, Joseph yang juga bapa mendiang mendakwa semua defendan cuai dengan tidak memberikan rawatan kecemasan ketika mangsa rebah pada hari kejadian, selain cuai memantau kesejahteraan serta kesihatan Soosaimanicckam ketika sesi latihan.
Justeru, beliau menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta relief lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Soosaimanicckam, yang merupakan pegawai kadet graduan, disahkan meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Lumut pada 19 Mei 2018 dan Mahkamah Koroner Ipoh pada 2023 memberikan keputusan terbuka berhubung inkues bagi menentukan punca kematiannya.
Koroner Ainul Shahrin Mohamad juga memutuskan punca kematian Soosaimanicckam disebabkan edema pulmonari.
Perbicaraan di depan Hakim Idah Ismail bersambung 26 Jun ini.