Tumpahan minyak di Sg Labu, Luas terus pantau situasi

Tumpahan minyak di Sg Labu, Luas terus pantau situasi

Lembaga Urus Air Selangor memaklumkan pihaknya menambah enam beg serbuk karbon teraktif untuk meningkatkan proses nyah bau.

Pasukan Lembaga Urus Air Selangor menambah enam beg serbuk karbon teraktif untuk proses nyah bau susulan tumpahan minyak yang masuk ke aliran Sungai Labu semalam. (Gambar Facebook Lembaga Urus Air Selangor)
PETALING JAYA:
Lembaga Urus Air Selangor (Luas) menambah enam beg serbuk karbon teraktif untuk meningkatkan proses nyah bau susulan tumpahan minyak atas jalan raya di Kota Seriemas, Negeri Sembilan hingga masuk ke aliran Sungai Labu, Sepang, semalam.

Menerusi kenyataan, ia memaklumkan pemantauan masih dilakukan selepas penemuan kesan minyak di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Labu.

Katanya, setakat 11.30 malam tadi Luas merekodkan bacaan kosong ton di lokasi.

“Langkah proaktif juga diambil iaitu menambah sebanyak enam beg ‘activated carbon’ (AC) di lokasi longkang terbabit di kawasan Negeri Sembilan bagi membantu meningkatkan nyah bau.

“Pasukan Luas terus berada di lapangan memantau rapi situasi semasa,” katanya di Facebook.

Dalam kejadian semalam, insiden tumpahan minyak dilaporkan berlaku di atas jalan raya di Kota Seriemas, Negeri Sembilan dan ia masuk ke aliran sungai dan mengalir ke kawasan negeri itu.

Kesan minyak kemudiannya ditemui di muka sauk LRA Sungai Labu menyebabkan Kod Kuning mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air diaktifkan pada 7.45 pagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.