7 hari bersih sisa tumpahan minyak di Pengerang, kata menteri

7 hari bersih sisa tumpahan minyak di Pengerang, kata menteri

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerja-kerja pembersihan itu bermula semalam dan dijangka selesai Sabtu ini.

Pelanggaran dua kapal di Singapura pada 14 Jun lalu menyebabkan kira-kira 400 tan minyak tumpah di perairan sekitar pantai Singapura hingga merebak ke perairan negara. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Kerja-kerja pembersihan tumpahan bahan api marin (MFO) di perairan Pengerang, Johor yang bermula pagi semalam dijadual selesai sepenuhnya Sabtu depan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata fasa satu kerja-kerja pembersihan dilakukan kontraktor dilantik di kawasan terjejas melibatkan pengumpulan sisa sampah berminyak yang kini sudah mencapai 95%.

Beliau berkata fasa kedua pembersihan melibatkan penyemburan kawasan berbatu dan pembersihan batu kerikil pula sudah 20% selesai.

“Kerja-kerja pembersihan lain seperti pengumpulan ‘tarball’ di permukaan pantai dan pengepungan air berminyak menggunakan ‘absorbent boom’ untuk mengelakkan mengalir ke arah laut juga giat dilakukan.

“Ia melibatkan kawasan pantai Sungai Rengit iaitu di belakang SK Sungai Rengit dan Jeti Nelayan Sungai Rengit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Alam Kita (Setiawangsa) di Taman Tasik Titiwangsa.

Nik Nazmi berkata penemuan minyak juga dilapor dikesan di kawasan Pulau Cik Kamat dan kontraktor akan dihantar untuk melakukan pembersihan selepas penilaian keadaan di kawasan itu selesai.

Beliau berkata sehingga hari ini status lokasi lain antaranya kawasan berbatu di belakang Balai Polis Sungai Rengit masih belum dibersihkan manakala pemantauan terus dilakukan di Pantai Teluk Ramunia berhampiran kawasan masjid di situ.

“APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) telah menggerakkan aset untuk memantau perairan Pengerang hingga ke Abu Bakar Maritime Base dan setakat ini tiada tompokan minyak dikesan di kawasan terbabit,” katanya.

Mengulas mengenai desakan sesetengah pihak supaya kerajaan menuntut ganti rugi kepada pihak terlibat sehingga berlakunya insiden tumpahan minyak itu, Nik Nazmi berkata kerajaan akan memperhalus tuntutan berkenaan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada.

Media sebelum ini melaporkan pada 14 Jun lepas, sebuah kapal Vox Maxima dari Belanda melanggar kapal tangki minyak Marine Honor dari Singapura yang menyebabkan kira-kira 400 tan tumpahan minyak di perairan sekitar pantai Singapura dan merebak ke perairan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.