Hujan punca air keruh, gangguan bekalan di 206 lokasi Selangor

Hujan punca air keruh, gangguan bekalan di 206 lokasi Selangor

Lembaga Urus Air Selangor berkata, kejadian kepala air juga punca air keruh sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air Sungai Bernam dihenti tugas sementara semalam.

air keruh selangor
Pasukan Lembaga Urus Air Selangor dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berada di tapak bagi memantau rapi keadaan semasa. (Gambar LUAS)
PETALING JAYA:
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesahkan hujan punca air keruh sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Bernam dihenti tugas sementara semalam.

Pada masa sama, katanya, berlaku kejadian kepala air di hulu Sungai Slim dan Sungai Geliting yang mengalir ke Sungai Bernam.

“Kami berkomunikasi dengan pihak berkuasa Perak dan melakukan semakan serta siasatan menyeluruh ke kawasan yang dikenal pasti membabitkan Sungai Slim, Sungai Bil dan Sungai Geliting dekat Perak.

“Pemerhatian juga dilakukan sepanjang hari di kawasan terbabit. Ia faktor peningkatan kekeruhan luar biasa berbanding hari biasa,” katanya menurut Harian Metro.

Semalam, 205 kawasan di Sabak Bernam dan satu lokasi di Hulu Selangor mengalami gangguan bekalan air.

LUAS berkata, situasi semasa di Sungai Bernam menunjukkan trend penurunan positif bacaan kekeruhan.

Tetapi, menurutnya, penurunan itu pada kadar agak perlahan disebabkan jumlah aliran sedimen tinggi daripada kejadian kepala air.

“Pasukan LUAS dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berada di tapak memantau rapi keadaan semasa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.